NAMA Inspektor Sheila menjadi topik hangat dalam kalangan netizen selepas video dia menghina anggota bawahan serta mengugut wanita warga emas tular di media sosial.
Namun kini pegawai polis itu melalui hantaran di Facebook sekali lagi menjadi buah mulut ramai apabila menyatakan hasrat untuk mencari pasangan hidup dan mendirikan rumah tangga.
Dalam hantaran tersebut, Sheila menetapkan beberapa syarat untuk golongan lelaki yang berminat menjadi teman hidupnya.
Malah dia mengalu-alukan secara terbuka sekiranya ada jejaka yang sudi untuk keluar temu janji dengannya bagi mencari keserasian.
Inspektor Sheila mencari jodoh melalui hantaran di halaman Facebook. |
“Ada sesiapa di sini yang nak berkahwin dengan saya? Beritahu saya di bahagian komen untuk keluar berjanji temu terlebih dahulu bagi mengenali satu sama lain.
“Lelaki itu perlu melepasi semua syarat yang saya tetapkan. Seterusnya berjumpa dengan ayah saya untuk meminta persetujuan dan restu daripadanya,” katanya.
Dalam hantaran sama, Sheila juga menitipkan pesanan dengan menekankan bahawa dia mahukan seorang lelaki bujang dan terbuka kepada semua kaum.
Ujar Sheila lagi, dia juga tidak meletakkan kriteria tertentu tentang umur, agama serta kerjaya.
“Semua orang boleh cuba. Jadi, tunggu apa lagi? Tulis ‘ya’ dalam ruangan komen,” katanya.
Sheila mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan diikat jamin RM5,000. |
Hantaran tersebut menjadi tular dan menarik perhatian netizen.
Rata-ratanya mengucapkan selamat maju jaya untuknya mencari jodoh.
Ada juga beberapa individu yang berani mencuba nasib dan meninggalkan komen ‘ya’ di dalam hantaran tersebut.
Namun dalam masa sama ada juga sebilangan netizen secara sinis bimbang tentang nasib yang bakal dilalui lelaki bertuah itu nanti.
Ia dipercayai merujuk kepada sikap Sheila yang tegas dan kasar seperti yang ditonton di media sosial sebelum ini.
“Lans koperal boleh ke nak cuba? Pangkat saya lebih rendah.
“Seram siapa jadi suami dia tu, dapat isteri garang. Harap ada yang sudi.
“Semoga Tuhan selamatkan lelaki yang memenangi hatinya. Dan kepada lelaki yang berjaya, apa yang anda fikirkan kawan? Anda memintanya!” demikian tulis beberapa netizen.
Sebelum ini, Sheila atau nama sebenarnya S.Sheila Sharon, 35, didakwa di Mahkamah Majistret Selayang bagi pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal.
Untuk itu Sheila didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Sementara itu Sheila didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita dan menghina kesopanan seorang lelaki.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun sama yang boleh dipenjara dua tahun dengan denda atau kedua-duanya.
Dia mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Sehubungan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenakan tindakan tatatertib terhadapnya termasuk digantung tugas.
BERITA berkaitan: