LONJAKAN FBM KLCI Bursa Malaysia yang melepasi paras rintangan penting 1,620 mata pada 20 Mei lepas mencerminkan prestasi kukuh bursa tempatan itu yang dipacu oleh gabungan penunjuk ekonomi dan sentimen pelabur yang positif.
Sebelum ini Bursa Malaysia melepasi paras 1,600 mata buat pertama kali dalam tempoh dua tahun pada 7 Mei, dengan permodalan pasaran ekuiti mencatatkan rekod baharu lebih daripada RM2 trilion.
Ketua penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata momentum meningkat indeks utama itu disokong oleh beberapa faktor seperti ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan kukuh 4.2 peratus pada suku pertama 2024, menandakan asas ekonomi yang bertambah baik.
Beliau berkata pertumbuhan ini menyediakan prospek yang baik untuk menyokong sasaran kerajaan mencapai pertumbuhan antara empat dan lima peratus tahun depan.
“Penyumbang utama kepada prestasi ekonomi ini adalah impak positif perjanjian perdagangan bebas (FTA), yang membantu melonjakkan perdagangan negara,” katanya kepada Bernama.
Pada Suku Pertama 2024, jumlah perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 7.1 peratus tahun ke tahun kepada RM690.59 bilion, dengan negara mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM34.22 bilion semasa suku tersebut.
PEMBELI ASING KEMBALI SEMULA KE PASARAN TEMPATAN
Kemasukan semula dana asing yang besar juga dilihat di pasaran tempatan dengan pelabur asing membuat pembelian bersih berjumlah RM2.73 bilion pada Mei.
“Kemasukan modal ini menjadi pemacu penting prestasi FBM KLCI, membantu melonjakkan indeks utama melepasi paras 1,620 mata,” kata Leong.
Beliau berkata satu lagi faktor yang menyumbang kepada sentimen positif di FBM KLCI adalah kemasukan syarikat gergasi utiliti ke dalam senarai konstituen indeks.
Menurutnya, penambahan ini telah menarik minat banyak pelabur, didorong oleh jangkaan prestasi kewangan yang lebih baik berikutan pengembangan pesat pasaran pusat data Malaysia.
“Para pelabur aktif membeli saham syarikat utiliti ini yang sekali gus melonjakkan lagi indeks utama,” katanya.
Sementara itu, ahli ekonomi Geoffrey Williams yang turut senada dengan Leong berkata pemulihan prestasi Bursa Malaysia ketika ini sejak pertengahan 2023 adalah disebabkan terutamanya aktiviti membeli saham berharga rendah dan menggantikan pembeli asing dengan pembeli tempatan.
Pada minggu-minggu kebelakangan ini sejak Februari, penghantaran pulang ekuiti syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan kembali ke dalam syarikat tersenarai Bursa Malaysia, dan ini telah melonjakkan nilai mereka.
DANA ASING, PELABURAN LONJAK PASARAN EKUITI MALAYSIA
Pada masa depan, kemasukan dana asing dan pelaburan besar-besaran dari negara seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka terus menyokong dan melonjakkan pasaran ekuiti Malaysia.
Leong berpandangan pengukuhan perjanjian perdagangan dengan negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Qatar, dan UAE dijangka memberi manfaat kepada pasaran ekuiti Malaysia.
“Langkah itu sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk membina ekosistem kewangan Islam yang kukuh,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kesan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan langkah ekonomi yang diumumkan pihak berkuasa China ke atas momentum kenaikan kukuh berterusan di Bursa Malaysia, Leong berkata memandangkan Rizab Persekutuan AS mungkin mengurangkan kadar faedah pada 2024, pelabur menjangkakan potensi pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, dan ini juga sebahagiannya didorong oleh dana asing yang mengalihkan perhatian kepada pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.
Beliau berkata beberapa dasar ekonomi utama yang telah ditetapkan pihak berkuasa China mungkin tidak membawa sebarang impak besar ke atas ekuiti Malaysia memandangkan langkah itu dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi China.
“Contohnya, kerajaan China menjanjikan US$42 bilion (RM197.30 bilion) untuk menyokong syarikat milik kerajaan bagi pembelian pangsapuri tidak terjual di China.
“Kami berpandangan tindakan itu hanya akan menyokong pemaju China memandangkan terdapat pendedahan yang sangat minimum dari segi pemaju hartanah Malaysia dalam pasaran hartanah China,” jelasnya.
BACA juga: