Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan laporan yang dibentangkan Jabatan Audit Negara walaupun terdapat beberapa dokumen yang masih lagi belum diserahkan oleh syarikat pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Jabatan tersebut telah membuat pengauditan secara menyeluruh dan memberikan banyak maklumat bagi memudahkan siasatan terhadap empat individu iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Eksekutif baharu, bekas Lembaga Pengarah dan Lembaga Pengarah baharu.
“PAC amat berpuas hati dengan kerja awal yang dibuat jabatan audit negara dan nampaknya dibuat secara menyeluruh dan telus, memberi maklumat yang baik kepada PAC untuk kita tanyakan kepada pengurusan dan lembaga pengarah yang kita akan panggil pada bulan hadapan iaitu bekas CEO, CEO dan lembaga pengarah yang lama dan baru.
“Namun masih terdapat beberapa dokumentasi yang belum diserahkan, jadi kita minta pihak 1MDB bagi kerjasama dengan jabatan audit negara untuk beri segala dokumentasi yang diminta bagi meneruskan audit mereka supaya dapat memuktamadkan laporan pada akhir tahun ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, Khamis.
Pembentangan laporan audit itu adalah lanjutan kepada arahan kabinet pada 4 Mac 2015 yang telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk melaksanakan pengauditan dan pengesahan penyata kewangan syarikat 1MDB, kemudian dilaporkan kepada PAC.
Jabatan Audit Negara juga turut melaksanakan permintaan PAC pada 27 Februari 2015 yang meminta jabatan tersebut melakukan audit terhadap syarikat milik kerajaan itu.
Dalam pada itu, Jazlan turut menjelaskan beberapa skop penting yang dibentangkan dalam laporan awal tersebut.
“Skop yang digunakan adalah pengauditan terhadap syarikat 1MDB dan anak syarikat berdasarkan penyata kewangan 1MDB dan anak syarikat dari tahun 2010 smpai 2014.
“Masa yang digunakan untuk buat laporan interim ni adalah selama 3 bulan bermula daripada 10 Mac 2015 sampai 15 Jun 2015,” katanya lagi.
Selain itu, skop dan metadologi laporan awal juga mengandungi analisis penyata kewangan laporan 1MDB sehingga 30 mac 2014 berdasarkan kepada jumlah jaminan dan pinjaman 1MDB, aset kumpulan 1MDB, pembiayaan dan penggunaan dana serta kajian terhadap penyata kewangan 1MDB bermula 2010 hingga 2014.
Pelaburan 1MDB seperti Petrosaudi turut dianalisis manakala pengauditan pelaburan lain dalam sektor hartanah dan tenaga masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam laporan akhir pada hujung tahun ini.