“Fitnah itu bertujuan supaya umat Islam di negara ini bangkit membenci pemimpin negara sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman pemerintahan khalifah Islam.”
Kenyataan itu ditegaskan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bimbang dengan kelemahan segelintir umat Islam di negara ini yang cukup mudah terpengaruh dan taksub dengan penyebaran fitnah yang datang dari pihak luar.
Menurutnya, perbuatan dan penyebaran fitnah sedemikian adalah antara usaha kumpulan itu untuk menggugat kestabilan negara dan menjatuhkan kerajaan sekaligus wajib ditolak umat Islam sebarang penyebaran fitnah tanpa usul periksa.
Beliau memetik kisah pembunuhan Khalifah Uthman ibnu Affan sewaktu pemerintahan Islam zaman silam yang dilakukan hanya disebabkan segelintir rakyat percaya dan taksub dengan fitnah kebencian yang ditaburkan musuh-musuh Islam.
Keadaan itu katanya, kini lebih merbahaya kerana penyebaran fitnah mudah merebak menerusi internet berbanding tempoh yang lebih lama pada zaman dahulu.
isu 1mdb, lth“Umat Islam di negara ini seharusnya berpegang kepada firman Allah SWT yang bermaksud jika kamu menerima khabar daripada mana-mana pihak hendak kamu menyiasat terlebih dahulu sama ada khabar itu betul atau tidak sebelum menerimanya,” katanya.
Lantaran itu, beliau menyeru umat Islam agar tidak mudah tertipu permainan fitnah termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hangat diperkatakan rakyat.
Menurutnya, masyarakat sepatutnya memberi peluang terlebih dahulu kepada Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasatnya secara bebas dan telus tanpa membuat sebarang andaian.
“Pada masa ini, kita (umat Islam) dituntut berprasangka baik terhadap isu itu,” katanya pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Ihya Ramadan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol di Bachok, Kelantan, Ahad.