HULU SELANGOR: Penunggang motosikal maut selepas melanggar lori membawa muatan ikan keli di Kilometer 4.3 Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian 7.50 malam itu, mangsa, Jajit Narinan, 39, yang menunggang bersendirian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Orang Asli Bukit Manchong.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan dan pertembungan dari arah bertentangan.
“Siasatan awal dijalankan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dari arah Sungai Choh dipercayai masuk laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan lori.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang terperosok ke bawah lori bersama dan diseret ke kanan jalan. Mangsa penunggang meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.