Rakyat Malaysia memang wira dalam menyebarkan berita palsu dan propaganda negatif mengenai Malaysia.
Kebanyakan yang dimulakan oleh orang-orang pro-PakaTun.
————
CYBERJAYA: S.Sumita mendapat 10A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Seorang pelajar yang cemburu dengannya kemudian menyebarkan berita bahawa beliau menjadi mangsa pembunuhan kejam di negara jiran.
Gambar dan kisahnya itu telah menjadi viral di media sosial, tetapi apa yang menjadi masalah adalah, cerita ini sama sekali tidak benar!
Satu-satunya perkara betul dalam cerita viral ini adalah Sumita mendapat 10A. Beliau tiada musuh dan gambar yang tersebar itu adalah gambar mayat dalam satu insiden di Indonesia.
Namun, masih ramai yang percaya dengan berita palsu yang viral seperti ini dan terus membuat penyebaran, selamat datang ke dunia berita palsu!
Sumita yang berusia 15 tahun sangat terkejut apabila keluarganya mula dihubungi saudara-mara dan rakan-rakannya gara-gara berita ini.
“Ia menjadi isu yang sangat besar. Ibu dan bapa saya terkejut. Kami tak tahu siapa yang buat perkara-perkara seperti ini,” katanya.
Sebelum ini, remaja celik teknologi ini pernah juga melihat mesej-mesej viral yang palsu, tetapi tidak pernah terlintas dirinya akan menjadi salah seorang mangsa.
“Saya tak tahu apa yang patut saya rasa,” katanya.
Kebanyakan rakyat Malaysia kini mendapat berita mereka dari media sosial, tetapi masih ramai yang tidak dapat membezakan antara berita sebenar dan palsu, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
SKMM telah mengadakan kelas-kelas literasi media pada tahun ini di 700 buah Pusat Internet 1Malaysia (PI1M), bagi menunjukkan contoh-contoh cerita palsu melibatkan MH370, berita selebriti dan pilihan raya presiden Amerika Syarikat kepada mereka.
Agensi itu terkejut apabila mendapati kebanyakan mereka tidak dapat membezakan antara cerita sebenar dan palsu.
“Laman web palsu itu, walaupun tidak secanggih seperti di Amerika Syarikat, mereka tetap tidak dapat memberitahu perbezaannya,” kata Pengarah Kanan Advokasi dan Jangkauan SKMM Eneng Faridah Iskandar.
“Orang ramai sudah mula bijak (dengan berita palsu) tetapi ia tidak akan berlaku tanpa program pendidikan berfokus. Kita mempunyai kadar pengguna dan penembusan yang tinggi, tetapi kita masih belum celik media,” kata Eneng Faridah, di mana bahagiannya banyak terlibat dengan pengguna internet, kebanyakannya di luar bandar, mengenai bagaimana untuk membezakan sumber yang sah dalam talian.
Lebih membimbangkan apabila Laporan Institut Berita Digital Reuters 2016 mendedahkan bahawa 69 peratus rakyat Malaysia memperolehi berita dari media sosial.
Malaysia juga adalah pengguna berita media sosial kedua terbesar di Asia Pasifik, di belakang Hong Kong.
Selain itu, Malaysia juga menjadi salah sebuah negara dengan kadar penembusan internet dan media sosial yang tertinggi di rantau ini.
Bagaimanapun, mendapat maklumat dari hanya satu sumber boleh mendedahkan rakyat Malaysia kepada risiko yang lebih tinggi untuk mendapat maklumat yang salah, kata SKMM.
Satu kajian oleh University of Washington mendapati bahawa orang yang mengambil berita dari media sosial berisiko terperangkap dalam ‘ruang echo’ kerana laman web seperti Facebook cenderung untuk ‘menghidangkan’ bahan berita yang mirip dengan apa yang mereka telah baca sebelum ini.
Ini boleh mengehadkan kepelbagaian pendapat dan pandangan mengenai isu-isu yang ada, katanya.
Satu lagi perkara membimbangkan apabila kajian mengejutkan oleh Graduate School of Education Universiti Stanford mendapati bahawa 80 peratus daripada mereka yang mempunyai pendidikan sekolah rendah atau lebih tinggi tidak dapat memberitahu sama ada kandungan suapan berita di media sosial mereka adalah berita yang sah, kandungan ditaja atau pemalsuan.
Keadaan ini tidak ada bezanya dengan Malaysia, di mana SKMM berkata agensi kerajaan terpaksa menangani secara aktif cerita palsu yang viral di media sosial, terutamanya Facebook dan WhatsApp.
Walaupun reaksi kepada berita palsu ini tidak begitu ekstrim seperti di AS, Eneng Faridah bimbang ia boleh menyemarakkan sentimen pelampau di Malaysia.
“Kita telah ‘menghasilkan’ sembilan pengebom berani mati yang terpengaruh dengan apa yang mereka lihat di Facebook,” katanya kepada The Star.
Beliau menceritakan bagaimana satu lagi penipuan Facebook, melibatkan gambar-gambar di satu majlis Buddha di A ‘Famosa Resort, telah diputarbelit ke dalam pertikaian agama.
Terdapat juga dakwaan lain seperti pengedaran wang kertas baru di Malaysia, peningkatan cukai jalan, KWSP sekat pengeluaran dan bekalan elektrik akan diputuskan di seluruh negara pada 18 Disember.
Seksyen 233 Akta SKMM membolehkan suruhanjaya itu menjatuhkan hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara selama setahun terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu, tetapi hanya empat telah dibawa ke mahkamah sejak 2010.
Walaupun telah menyekat 5,044 laman web tahun ini, Eneng Faridah mendakwa tiada satu pun daripadanya disebabkan oleh maklumat palsu.
Memandangkan tipu helah yang diviralkan berkait dengan kesihatan, agama atau jenayah, beliau berkata suruhanjaya itu tidak mempunyai kedudukan berwibawa untuk mengesahkan atau menolak berita-berita media sosial, misalnya pengesahan halal sekeping coklat.
Tugas itu, katanya terletak di bawah agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. SKMM lebih berminat untuk mendidik pengguna untuk membuat keputusan untuk diri mereka sendiri.
“Kita tidak mahu menjadi pusat penjelasan di internet. Mereka yang mengambil berita juga mempunyai peranan dalam tindakan mereka,” kata Eneng Faridah.