Pihak berkuasa telah membekukan akaun dan aset bernilai ratusan juta ringgit milik dua ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” yang disyaki mengelak cukai dan rasuah.
Ahli perniagaan itu didakwa memberi rasuah lebih RM1 juta sebulan kepada pegawai penguatkuasa daripada pelbagai agensi.
——————–
Dua ‘Tan Sri’ Elak Cukai, Beri Rasuah Di Tahan
MUKADIMAH
PASUKAN Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus mencatat kejayaan dalam memperoleh semula hasil wang negara yang hilang Dua serbuan di dua buah negeri baru-baru ini telah membolehkan pasukan tersebut bukan sahaja membongkar perbuatan tidak membayar cukai oleh dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri, malah turut mendedahkan bagaimana amalan rasuah melibatkan anggota agensi penguat kuasa masih berleluasa di sesebuah negeri. Selain itu, turut didedahkan dalam laporan khas kali ini oleh Wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, MOHAMMAD YASIR JAAFAR dan FITRI AFFENDI MUSTAFA adalah kewujudan sindiket judi haram empat nombor ekor yang semakin berleluasa di seluruh negara hasil serbuan pasukan tersebut.
KUALA LUMPUR: Tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar, tidak membayar cukai dan merasuah anggota penguat kuasa sehingga mencecah RM1.5 juta sebulan.
Itulah merupakan antara perkara yang terdedah dalam dua serbuan terbaru oleh Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) baru-baru ini.
Dalam dua serbuan, di dua buah negeri tersebut dan melibatkan dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri, pasukan berkenaan mendapati, kerajaan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit setahun akibat tindakan mereka tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar.
“Ini termasuklah salah seorang daripada mereka menjalankan kegiatan judi nombor ekor haram yang kita dapati bukan sahaja beroperasi di sebuah daerah atau di seluruh negeri berkenaan tetapi juga seluruh negara,” kata sumber tersebut.
Selain itu seperti dijangkakan, kata sumber, rasuah terus menjadi ancaman apabila dalam serbuan di salah sebuah negeri berkenaan, sindiket menyediakan peruntukan lebih RM1 juta setiap bulan untuk segelintir pegawai dan anggota agensi penguat kuasa.
“Rasuah ini untuk diberikan kepada anggota penguat kuasa di tiga agensi bagi memastikan kegiatan sindiket tidak terganggu termasuklah tidak mengambil tindakan ke atas pusat hiburan yang beroperasi melebihi waktu,” katanya.
Sumber itu menjelaskan, akibat daripada amalan rasuah yang berlaku ia mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian besar dari segi pendapatan cukai sedangkan mereka yang menjalankan kegiatan itu mengaut keuntungan berpuluh-puluh juta ringgit sebulan.
Dalam serbuan di sebuah negeri di utara pula, kata sumber tersebut, seorang ahli perniagaan didapati tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar bagi mengelakkan syarikatnya membayar cukai yang lebih tinggi kepada kerajaan.
“Kedua-dua kes itu dalam siasatan dan akaun serta aset mencecahkan beratus-ratus juta ringgit telah dibekukan,” katanya.