Kisah diganggu makhluk halus ketika menjalankan tugas bukan suatu perkara yang baru.
Rata-rata yang menjadi mangsa ‘gurauan’ makhluk itu kebiasaannya bertugas pada waktu malam atau di kawasan terpencil dan sunyi.
Pengalaman sama dikongsikan seorang lelaki bernama Muhammad Khalid Amiruddin di laman sosial Twitter yang pernah berdepan ‘gangguan’ ketika bekerja sebagai penghantar pizza.
Muhammad Khalid menceritakan panjang lebar kisah diganggu makhluk halus di sebuah pangsapuri di ibu negara ketika menghantar pesanan pelanggan.
Menurut Muhammad Khalid, kisah seram di pangsapuri terbabit bermula sebaik beliau menjejak kaki di aras lapan bangunan itu.
Katanya, perasaan takut mula menyelebungi diri selepas terdengar beberapa bunyi ‘pelik’ sebelum melihat kelibat seorang perempuan tua melambai-lambai ke arahnya.
“Tiba-tiba saya dengar orang jerit lalu tepi macam orang terjun bangunan. Bamm! Macam bunyi terhempas. Saya larilah tengok ke bawah. Aik, tak ada apa pun, hurm macam seram saja.
“Hari makin gelap. Tetapi lampu di depan rumah dia tak pasang. Sebelah tu ada tangga kecemasan pintu terbuka luas. Bapak gelap tangga tu, lampu pun tak menyala sampai saya buka lampu di telefon bimbit. Tunggu lif naik dengan hati berderau.
“Pandang pintu besi lif, tiba-tiba saya nampak sebelah rumah amoi (pelanggan) itu ada orang pegang pagar, makcik tengah lambai-lambai aku, sambil ketawa perlahan,” coretnya di Twitter.
Takut dan seram dengan insiden yang dihadapi, Muhammad Khalid kemudian terus bergegas menaiki lif untuk keluar dari bangunan itu sebelum sekali lagi berdepan ‘gangguan.’
Kali ini, pintu lif dinaiki Muhammad Khalid seakan-akan rosak dan sekaligus membuatkan dirinya seperti mahu pengsan dan terkencing di dalam seluar.
Walaupun pengalaman seram Muhammad Khalid telah lima tahun berlalu, namun katanya ia tetap jelas berada dalam ingatan.
Jelasnya, pengalaman diganggu makhluk halus itu juga membuatkan beliau mengambil keputusan berhenti menjadi penghantar pizza walaupun hanya baru tiga hari menjalankan tugas di syarikat berkenaan.
Setakat ini, kisah seram Muhammad Khalid dikongsi lebih 1,800 pengguna Twitter.