HULU SELANGOR: Dr Mahathir Mohamad berkata, PPBM akan menunggu laporan penuh pihak berkuasa berhubung dakwaan seorang Adun parti itu dari Selangor terlibat dalam penyalahgunaan dadah sebelum mengambil apa-apa tindakan.
Pengerusi PPBM itu berkata, hukuman berat akan dikenakan ke atas mana-mana ahli parti jika terbukti bersalah.
“Kita kena tunggu maklumat penuh daripada polis dan akan putuskan apa yang akan berlaku kerana kita berpegang kepada ‘rule of law’.
“Jika sesiapa yang langgar undang-undang, termasuk saya, akan dimasukkan ke penjara,” katanya ketika ditanya bentuk tindakan akan diambil oleh parti itu berhubung dakwaan beberapa individu ditahan, termasuk seorang Adun PPBM, kerana dipercayai terlibat dengan dadah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri satu lawatan ke depot Damia Serendah di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mahathir bagaimanapun berkata, beliau tidak mengetahui “cerita sebenar” berhubung penahanan Adun terbabit.
“Saya dengar cerita sahaja, tidak tahu apa sebenarnya,” katanya.
Terdahulu, pengerusi PPBM Selangor Abdul Rashid Ansari mengesahkan Adun dari parti itu ditahan polis awal pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan penahanan 17 individu, termasuk 6 wanita di sebuah kondominium di Jalan Puchong di sini malam tadi atas dakwaan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian.
Abdul Hamid berkata, hasil pemeriksaan di kondominium itu menemui plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram dan satu piring kaca yang turut mempunyai dadah jenis sama seberat 0.3 gram.
“Polis turut menemui sebatang rokok dibalut dengan daun kering dipercayai dadah jenis ganja dan beberapa daun terup dan cip dipercayai digunakan untuk permainan judi,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Abdul Hamid bagaimanapun enggan mendedahkan identiti 17 individu yang ditahan kerana pihaknya sedang melakukan siasatan.
“Semua suspek sudah diambil kenyataan. Pada hari ini selepas siasatan dilengkapkan, mereka dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.