SUNGAI PETANI – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengarahkan premis makanan di daerah ini yang tular kerana menjual telur masin mengandungi ulat kelmarin ditutup sementara.
Pengarahnya, Dr. Ismuni Bohari berkata, perintah penutupan premis itu dilaksanakan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“JKN Kedah mengesahkan aduan diterima melalui Facebook Penduduk Sungai Petani pada Selasa lalu berkaitan penemuan ulat dalam telur masin dan kebersihan premis berkenaan. Verifikasi aduan juga telah dilakukan dengan pengadu bagi mengesahkan kejadian yang tular di media sosial itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda telah menjalankan siasatan lanjut pada semalam dan mendapati premis itu gagal mematuhi keperluan kebersihan premis di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983.
Ismuni berkata, selain perintah penutupan, JKN Kedah turut mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 terhadap premis itu.
“Pemeriksaan semula premis itu akan dijalankan selepas pemiliknya dapat mematuhi semua arahan pembersihan dan mengambil tindakan pembetulan seperti diarahkan PKD Kuala Muda,” tambahnya.
Semalam dilaporkan sebuah premis nasi kandar tular susulan rakaman video dimuat naik seorang pelanggan yang mendakwa menemui ulat di dalam telur masin semasa menjamu selera di premis itu bersama seorang rakannya tengah hari kelmarin.
BACA juga:
100 pengadu fail saman RM1 juta terhadap pemilik restoran Nasi Kandar Salleh
[VIDEO] MPAJ batal lesen restoran tular ‘tikus jilat ayam goreng’
Restoran terkenal miliki Sijil Halal JAKIM disyaki guna daging babi