Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini diarah membayar sebanyak RM500,000 kepada Ketua Pembangkang negeri, Datuk Jahara Hamid sebagai ganti rugi kerana menggelar beliau sebagai nenek rasis.
Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Nordin Hassan yang membuat keputusan itu turut mengarahkan Guan Eng membayar kos guaman sebanyak RM40,000 berserta faedah sebanyak lima peratus.
Selain itu, Nordin turut mengarahkan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, menarik balik gelaran terhadap Jahara selain mengeluarkan injunksi menahannya daripada mengulangi kata-kata fitnah.
Jahara sebelum ini memfailkan saman selepas Guan Eng pada 10 Disember 2013 dalam sidang akhbar di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menggelarkan Jahara sebagai ‘nenek rasis’.
Gelaran itu dibuat Guan Eng kerana Jahara dikatakan cuba membangkitkan isu perkauman apabila menuduh kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu.
Guan Eng kemudiannya memohon maaf kepada Jahara tetapi hanya untuk gelaran ‘nenek’ namun tetap menyifatkan Jahara sebagai seorang yang rasis.
Dalam saman fitnah berkenaan, Jahara yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar turut memohon perintah injunksi untuk menghalang Guan Eng daripada berterusan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya selain mahu perkara berkenaan tidak berulang.
Bagi kes itu, Jahara diwakili peguam, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunos.
Keputusan mahkamah pengajaran kepada Guan Eng – Jahara
“Keputusan mahkamah ini mengembalikan maruah saya sebagai ketua pembangkang dan juga sebagai seorang wanita,” kata Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid.
Beliau berkata demikian pada sidang media sebentar tadi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mengarahkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng membayar ganti rugi sebanyak RM500,000 kerana menggelarnya sebagai ‘nenek rasis’.
Jahara berkata, Guan Eng yang memegang jawatan tertinggi sebagai Ketua Menteri sepatutnya membuka mata dan tidak melemparkan tuduhan atau gelaran yang menjatuhkan maruah sesiapa.
“Saya bersyukur kes saman malu ini akhirnya selesai. Saya harap ini menjadi satu pengajaran kepada semua pemimpin, kita tidak seharusnya lemparkan tuduhan dan beri gelaran yang menjatuhkan maruah seseorang.
“Ini tidak sepatutnya menjadi amalan mana-mana-mana ahli politik,” katanya.