Dewan Rakyat kecoh seketika apabila beberapa anggota pembangkang mendakwa kerajaan gagal mengendalikan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Sabtu lepas selain memberi kenyataan bercanggah.
Mohamad Imran Abd Hamid (PKR-Lumut) mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak datang ke dewan esok bagi memberi penjelasan tentang apa sebenarnya yang berlaku di sebalik kejadian itu.
“Selepas lima hari, apa yang berlaku..kemungkinan kapal terbang itu berada di dasar laut. Beri penjelasan, kalau boleh perdana menteri dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein datang ke dewan esok,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Diraja di sini Rabu.
Khalid Samad (PAS-Shah Alam) ketika mencelah perbahasan itu berkata kerajaan perlu bertanggungjawab dan menerima teguran pelbagai pihak di atas kelemahan dan kekurangan ketika mengendalikan kes kehilangan pesawat itu.
Beliau turut mendakwa kerajaan dan pihak berkuasa lambat bertindak sebaik sahaja menerima laporan kehilangan pesawat itu menyebabkan masyarakat antarabangsa mengkritik kemampuan negara.
Tuduhan dan dakwaan bertubi-tubi itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah di antara pembangkang dan penyokong kerajaan yang meminta semua anggota Parlimen khususnya pembangkang agar tidak menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak.
Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata adalah lebih baik semua pihak tanpa mengira perbezaan latar belakang politik untuk bersama-sama memikirkan penyelesaian terbaik dalam mencari pesawat yang hilang itu.
“Ini masalah negara, masalah bersama, sepatutnya perkara seumpama ini tanpa kita kira latar belakang politik kita mesti selesaikan secara bersama dan tidak ada masa untuk kita tuding menuding dan salah menyalah.
“Ini mana boleh sebut kemungkinan (pesawat) jatuh, kemungkinan itu, kemungkinan ini, kerana ia soal krisis jadi mana boleh kita buat andaian, mesti ada bukti yang sahih baru boleh buat pengumuman,” katanya.
Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) pula mengingatkan semua wakil rakyat pembangkang supaya berhenti mempersoalkan cara kerajaan bertindak dalam insiden itu sebaliknya bersama-sama bermuhasabah diri dan berdoa untuk kebaikan semua pihak.