Indrani berkata, pada Mei lalu beliau pernah membuat laporan polis mendakwa Kesavan mengganggunya secara seksual sejak Disember lalu.
Seorang wanita dipercayai pernah berkhidmat sebagai pegawai Ahli Parlimen Sungai Siput telah menyaman wakil rakyat kawasan itu, Kesavan Subramaniam.
Wanita dikenali sebagai Indrani Ramasamy mengesahkan dirinya memfailkan saman malu itu terhadap wakil rakyat DAP itu pada 16 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini.
Wanita itu mendakwa dia merupakan bekas pegawai penyelidik Parlimen Sungai Siput dan juga Bendahari PKR Cabang daerah itu menyatakan rasa kurang selesa dengan kenyataan media Kesavan bertarikh 18 Mei lalu.
Katanya, bekas majikannya itu membuat dakwaan yang berniat mahu menjatuhkan reputasinya.
Indrani berkata, pada Mei lalu beliau pernah membuat laporan polis mendakwa Kesavan mengganggunya secara seksual sejak Disember lalu.
Bagaimanapun Kesavan tampil menafikan dakwaan Indrani dan membuat laporan polis kerana mengadu trauma berkenaan dakwaan itu.
“Saya R. Indrani mengesahkan membuat satu saman malu terhadap S Kesavan pada 16 Julai 2019 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Saya ialah bekas pegawai penyelidiknya. Saya kurang selesa kerana difitnah oleh Kesavan pada 18 Mei apabila dia mendakwa saya cuba menjatuhkan reputasinya selain menaruh hati terhadapnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesavan pada kenyataan media bertarikh 18 Mei lalu menafikan dia terlibat melakukan gangguan seksual terhadap Indrani.
Sebaliknya, pemimpin itu mendakwa wanita itu yang sebenarnya cuba menelefonnya dan cuba menganggu rumahtangganya.
Kenyataan Kesavan itu menyusul selepas laporan polis Indrani ke atas Kesavan mengenai gangguan seksual yang diterimanya.
“Jika saya tidak menjawab, dia mula marah. Apabila saya menjawab, ada kalanya perbualan melebihi lebih satu jam setiap kali.
“Menjelang September 2018, saya mula menjadi kurang selesa dengan kelakuan wanita ini yang mula berubah dari seorang yang mengaku mahu menjadi kawan, kepada seorang yang mula mempunyai perasaan terhadap saya,” kata Kesavan baru-baru ini.
Indrani dalam kenyataan hari ini pula menegaskan, segala yang dinyatakan Kesavan itu adalah fitnah terhadap dirinya.
“Ia juga dalam maksud biasa atau secara implikasi perkataan-perkataan di dalam artikel tersebut bermaksud dan boleh membawa maksud dan boleh difahami sebagai membawa makna bahawa saya seorang yang tidak mempunyai sebarang integriti dan tidak bermoral.
“Saya juga seolah digambarkan sebagai seorang yang tidak mempunyai sifat etika bertanggungjawab professional serta lain-lainetika yang penting bagi menyandang posisi dan sebagainya.
“Saya melalui peguamcara saya Tetuan Suflan TH Liew & Partners telah memfailkan saman maluterhadap Kesavan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette
Rujukan:
Laporan polis terhadap MP Sungai Siput kerana gangguan seksual
https://pakdin.my/laporan-polis-terhadap-mp-sungai-siput-kerana-gangguan-seksual/