10 suspek dedah maklumat keselamatan ESSCOM ditahan di Sabah - pakdin.my

ops_daulat-laut

Ketua polis negara mengesahkan 10 individu ditahan sejak semalam kerana disyaki menjadi dalang yang membocorkan maklumat berhubung operasi pasukan keselamatan di perairan Sabah.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka yang ditangkap terdiri daripada penduduk tempatan dan juga pendatang dari selatan Filipina.

“Sehingga pagi ini kita ada melancarkan operasi di pantai timur Sabah dan menangkap beberapa orang yang kita percaya dalang kepada kumpulan Abu Sayyaf.

“Operasi berterusan itu dilaksanakan polis Sabah bersama pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) serta Majlis Pemakaian Pangkat di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman hari ini.

Pada 30 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau percaya maklumat berhubung operasi pasukan keselamatan di perairan Sabah dibocorkan melalui ‘orang dalam’.

Beliau berkata perkara itu menyebabkan pasukan keselamatan sukar mengawal perairan yang luas sehingga berlaku kes penculikan khususnya di kawasan Esscom.

Khalid berkata semua individu terbabit disiasat di bawah Akta Imigresen, Kanun Keseksaan dan menggunakan peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Katanya, beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat anggota keselamatan negara ini terbabit dalam membocorkan maklumat.

Beliau berkata polis sentiasa memantau perkembangan di selatan Filipina dan akan terus berjaga-jaga bagi memastikan tidak ada elemen Abu Sayyaf dan culik untuk wang (Kidnap For Ransom) meresapi masuk ke negara ini.

“Kita tahu dalangnya ramai dan ramai yang akan membantu mereka jika masuk. Jadi insya-Allah, kita sentiasa bersiap siaga,” katanya.

UTAMABERITA10 suspek dedah maklumat keselamatan ESSCOM ditahan di Sabah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium