5,726 anggota perwakilan sertai Perhimpunan Agung UMNO 2013 - pakdin.my

Perhimpunan Agong UMNO
Perhimpunan Agong UMNO

Seramai 5,726 anggota perwakilan Umno dari seluruh negara dijadual menghadiri perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bermula Isnin depan.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata daripada jumlah itu, 2,759 hadir untuk perhimpunan agung, manakala perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri masing-masing akan disertai 989 anggota perwakilan.

“Sebanyak 101 wakil 32 parti dari 28 negara juga telah mengesahkan kehadiran dan sebanyak 80 anggota perwakilan dari 73 Kelab Umno Luar Negara dan tujuh badan perhubungan negara juga akan hadir,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno di sini hari ini.

Berhubung usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan itu, Tengku Adnan berkata ia akan merangkumi ucapan dasar Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak, ekonomi, agama dan pendidikan.

Anggota perwakilan juga dijangka membangkitkan isu berhubung pemilihan parti Oktober lepas dan persiapan bagi pilihan raya umum ke-14, katanya.

Tengku Adnan berkata presiden parti mungkin menekankan kepada beberapa garis panduan mengenai bagaimana Umno harus bergerak ke arah pilihan raya umum akan datang.

“Akan ada perkara yang harus diperbetulkan dan beberapa perubahan untuk dilakukan dan bagi kami maju ke hadapan untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Tengku Adnan juga memaklumkan sebanyak 1,724 petugas media dari 118 agensi media tempatan dan antarabangsa, media baharu termasuk blogger akan membuat liputan perhimpunan itu.

Laman Media diwujudkan di aras dua PWTC dan sidang media akan diadakan di bilik Pulau Pinang untuk kegunaan naib-naib presiden dan ketua pergerakan sayap serta pemimpin tertinggi parti, katanya.

“Kami juga akan meningkatkan kawalan keselamatan di laman media bagi mengelakkan orang bukan media daripada memasuki kawasan berkenaan,” jelas beliau.

Tengku Adnan menambah kata setiap petugas media diminta untuk memakai kad yang dikeluarkan Umno semasa membuat liputan.

Tengku Adnan juga memaklumkan bahawa pelbagai program diadakan sepanjang perhimpunan berlangsung dimulai dengan Persidangan Kelab Umno Luar Negara pada Ahad ini (1 Disember) di Dewan Tun Ismail, PWTC.

Satu forum antarabangsa bertemakan politik kesederhanaan dan prinsip kestabilan akan diadakan pada Isnin dan Selasa.

Perdana menteri dijadual menyampaikan ucap tama pada forum itu manakala bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadiri majlis jamuan tengah hari bersama peserta forum itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijadual merasmikan majlis penutup forum itu.

UTAMAPOLITIK5,726 anggota perwakilan sertai Perhimpunan Agung UMNO 2013

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium