Altel labur RM1 bilion sedia perkhidmatan 4G - pakdin.my

ALTEL Communications Sdn Bhd
ALTEL Communications Sdn Bhd

Kerjasama dengan peserta industri lain bagi jimatkan kos

ALTEL Communications Sdn Bhd, syarikat telekomunikasi dalam Kumpulan Syarikat Al-Bukhary akan melabur sekitar RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur perkhidmatan 4Gnya dalam tempoh lima tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob, berkata bagi menjimatkan kos, syarikat itu akan mengadakan kerjasama pintar dengan peserta industri yang lain, selain mengambil pendekatan inovatif, khususnya berkaitan penggunaan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi.

“Beberapa kerjasama pintar dalam proses untuk dimuktamadkan dan kami akan bekerjasama rapat dengan peserta industri untuk mendapatkan satu aturan tang memanfaatkan semua pihak,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada taklimat media memperkenalkan syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam, sekali gus Altel menandakan kemunculannya dalam industri telekomunikasi negara. Yang hadir sama ialah Pengerusi Altel, Datuk Hilmi Mohd Noor.

Syarikat milik penuh Puncak Semangat Sdn Bhd itu, adalah satu daripada lapan syarikat dianugerah spektrum 2600MHz Evolusi Jangka Panjang (LTE) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyediakan perkhidmatan 4G.

Nik Abdul Aziz berkata, buat permulaan semua perbelanjaan modal syarikat itu akan dibiayai menggunakan dana dalaman, sebelum mengkaji mengumpul dana dari luar.

Beliau berkata, Altel akan melancar produk sulung prabayarnya pada Ogos ini, disusuli pelancaran produk dan perkhidmatan lain secara berperingkat sejajar penggunaan rangkaian dan pelan pemasarannya.
“Kami menyasarkan meraih pelanggan berdaftar lebih 150,000 dalam tempoh setahun pertama pelancaran produk itu,” katanya.

Beliau berkata, sasaran pelanggan awal Altel adalah dalam kalangan syarikat di bawah Kumpulan Syarikat Al-Bukhary.

Lebih 10 syarikat berada dalam kumpulan itu antaranya Pos Malaysia, DRB-Hicom, Malakoff, Bernas, Tradewinds, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) dan Johor Port.

Sementara itu, Hilmi berkata adalah menjadi aspirasi Altel untuk menjadi penyedia LTE 4G utama di negara ini termasuk semua yang berkaitan perkhidmatan telekomunikasi lain, dengan menyampaikan teknologi mudah alih berkelajuan tinggi secara strategik.

“Detik ini menandakan permulaan bermakna yang kami impikan sejak menerima peruntukan spektrum untuk membina rangkaian mudah alih dari pihak kerajaan,” katanya.

Sementara itu Altel semalam turut menganjur majlis berbuka puasa dengan anak-anak dari Rumah Perlindungan Al Nasuha dan Asrama Darul Falah.

UTAMAEKONOMIAltel labur RM1 bilion sedia perkhidmatan 4G

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium