Utama NASIONAL AM Azan Maghrib 4 minit awal, DJ Radio mohon maaf

Azan Maghrib 4 minit awal, DJ Radio mohon maaf

TAWAU: Gara-gara menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal, seorang penyampai stesen radio tempatan di sini, tampil memohon maaf susulan kesilapan teknikal itu.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, penyampai radio terbabit menjelaskan berlaku kesilapan teknikal apabila azan Maghrib disiarkan dua kali iaitu pada 6.16 petang dan 6.20 petang.

“Saya, Mohd. Safwan bin Junit, penyampai yang bertugas petang ini dalam Syoknya Hujung Minggu telah melakukan kesilapan teknikal yang mana azan Maghrib disiarkan dua kali, iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang.

“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya, menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu,” katanya sambil menjelaskan perkara itu disebabkan oleh kesilapan teknikal dan kesilapan dirinya sendiri.

Sehubungan itu, beliau secara peribadi dan rendah hati memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan situasi tidak diduga itu.

“Kesilapan ini, adalah kesilapan dari diri saya sendiri dan bukan RTM Tawau atau Tawau FM.

“Yang baik datangnya dari Allah dan yang kurang itu datangnya dari kelemahan diri saya sendiri. Mohon ‘share’ permohonan maaf ini,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan di ruang komen mendapati warganet memberikan pelbagai reaksi termasuk ada yang menasihati penyampai radio berkenaan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Selain itu, tidak kurang juga yang memuji tindakannya yang mengakui kesilapan dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Terbaik bro cepat mengaku kesilapan. Semoga dijadikan ikitibar kepada kita semua kerana kita manusia tidak lari daripada membuat kesilapan. Semoga dipermudahkan bro,” komen seorang netizen.

Exit mobile version