Utama NASIONAL BORNEO Klinik Kesihatan Mansiat musnah terbakar

[Video] Klinik Kesihatan Mansiat musnah terbakar

KENINGAU: Klinik Kesihatan Mansiat, di Jalan Tulid, Sook, di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Bangunan berstruktur kayu berkeluasan 1,114 meter persegi itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran bermula jam 4:30 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.48 petang berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati sebahagian besar klinik berkenaan sudah terbakar 100 peratus berikutan struktur diperbuat daripada kayu.

“Pasukan operasi terus menjalankan operasi memadam kebakaran dan api berjaya dikawal kira-kira jam 6 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Exit mobile version