17 lagi Ahli Parlimen selesai beri keterangan – Polis - pakdin.my

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana 2.16 petang tadi untuk diambil keterangan oleh pegawai polis berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos lepas.

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Seramai 17 lagi Ahli Parlimen pembangkang selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka sebelum berarak ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya akan memanggil beberapa lagi Ahli Parlimen untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat ini.

“Ya, 17 Ahli Parlimen telah selesai dipanggil beri keterangan pada hari ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, tinjauan Bernama di IPD Dang Wangi mendapati mereka yang hadir pada sebelah pagi adalah Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai; William Leong Jee Keen (Selayang); Fong Kui Lun (Bukit Bintang); Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); Charles Santiago (Klang); Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat); Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor); Fuziah Salleh (Kuantan); dan P Prabakaran (Batu).

Yang hadir selepas tengah hari pula adalah Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); Chan Ming Kai (Alor Star); Wong Chen (Subang); Sim Tze Tzin (Bayan Baru); Anthony Loke Siew Fook (Seremban); dan Nor Azrina Surip (Merbuk).

Di PUTRAJAYA, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air yang juga Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad serta presiden parti itu yang juga Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilapor turut diambil keterangan di Yayasan Kepimpinan Perdana antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang.

Kedua-dua mereka dirakam kenyataan oleh empat pegawai polis Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sabtu lepas, 20 Ahli Parlimen diambil keterangan berhubung perkara itu.

Pada 2 Ogos, sekumpulan Ahli Parlimen cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen mendesak supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diteruskan. Sidang khas lima hari yang mengikut jadual berakhir pada 2 Ogos itu ditangguh atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.

Kesemua Ahli Parlimen itu kemudian bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarah polis.

— BERNAMA

 

UTAMABERITA17 lagi Ahli Parlimen selesai beri keterangan - Polis

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium