4 ditahan ugut bunuh ketua kumpulan 81 orang ahli PAS keluar parti

keluar pas marangMARANG – Empat lelaki ditahan kerana bertindak mencekik leher dan mengugut bunuh seorang penyokong parti PAS yang keluar parti itu untuk menyertai UMNO di Kampung Jerung Seberang, Wakaf Tapai di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang, mangsa Ramli Abdullah, 53 tahun bersama isteri 50-an dan anak berada di rumah sebelum didatangi empat suspek yang tinggal di kampung sama lantas mengugut untuk membunuh dan membakar rumahnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata kejadian itu berlaku apabila suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa yang mewakili 81 lagi penduduk menaikkan kain rentang berbunyi ‘Kami Penduduk Kampung Bukit Cempedak Sokong UMNO’.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, semasa di rumah itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum seorang daripada mereka yang berusia 34 tahun bertindak menarik dan mencekik leher mangsa.

Manoharan berkata isteri dan anak mangsa menyaksikan tindakan suspek yang juga mengugut mahu membunuh serta membakar rumah mangsa kerana keluar parti dan menaikkan kain rentang itu.

“Insiden keluar parti ini berlaku dua bulan lepas apabila mangsa yang juga ketua kepada 81 orang dari kampung itu keluar parti dan menyertai UMNO serta mahu menubuhkan cawangan baharu di kampung itu,” katanya.

Manoharan berkata ekoran kejadian itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Wakaf Tapai pada jam 9.30 malam hari sama kerana bimbang keselamatannya sekeluarga.

Katanya keempat-empat suspek berusia 34 hingga 38 tahun yang masing-masing bekerja sebagai tukang rumah dan bekerja sendiri ditahan di rumah masing-masing hari yang sama selepas laporan dibuat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Justeru beliau menasihati orang ramai yang tidak berpuas hati berhubung parti politik supaya tidak bertindak sesuka hati, sebaliknya meminta pendapat ketua parti politik masing-masing, atau membuat laporan polis.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here