Amaran: Jika tukar kerusi MB, PAS mahu Iskandar Samad - pakdin.my

Iskandar Samad
ISKANDAR…Adun Chempaka dan Pesuruhjaya PAS Selangor

Kemelut perebutan jawatan Menteri Besar (MB) Selangor semakin memuncak apabila PAS bersedia menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad sebagai calon utama.

Setiausaha PAS Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata isu kekosongan kerusi DUN Kajang adalah isu dalaman PKR dan pihaknya hanya akan bertindak sebagai pemerhati selagi isu jawatan MB tidak dikaitkan.

“Namun sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan MB, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan di terima oleh rakyat.

“PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon MB yang dirasakan layak dan sesuai. Ini termasuk menamakan YB Pesuruhjaya PAS Selangor sebagai calon utama kita,” tegas beliau dalam satu kenyataan, Selasa.

Menurut Khairuddin, alasan PAS menghantar calon adalah kerana PAS memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Untuk rekod, PAS menang 15 kerusi DUN berbanding DAP (15) dan PKR hanya 14 sahaja manakala Barisan Nasional (BN) pula cuma 12 kerusi.

Bagaimanapun katanya keputusan muktamad hanya akan diputuskan oleh kepimpinan pusat.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Pemuda PAS Selangor mengancam untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang sekiranya PKR gagal memberi penjelasan munasabah berhubung peletakkan jawatan tersebut.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata sekiranya PKR gagal berbuat demikian, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan arahan kepada seluruh jentera Pemuda PAS Selangor untuk tidak memberikan kerjasama dalam kempen PRK Kajang jika calon yang dikemukakan adalah daripada PKR.

“Pemuda PAS Selangor mengingatkan PKR bahawa Selangor khususnya adalah negeri yang ditadbir secara bersama oleh PAS, PKR dan DAP.

“Tiada istilah Selangor adalah negeri PKR atau sebaliknya, maka tindakan sebegini akan mengeruhkan suasana politik antara Pakatan Rakyat dan memberi imej negatif kepada rakyat,” tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali menegaskan kedudukan Menteri Besar akan dibincangkan selepas Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kerusi Dun Kajang.

“Soal siapa ganti MB itu kita akan fikirkan selepas kita menang di Kajang. Kalau ada keperluan,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menafikan tindakan PKR ini adalah disebabkan kemelut yang melanda beliau, Khalid dan PKNS sebaliknya ianya merupakan satu langkah strategi PKR untuk mengukuhkan kedudukan mereka di negeri tersebut.

“Ini bukan isu Khalid-Azmin, ini isunya lebih besar. Spekulasi, saya tidak akan respon kepada apa juga spekulasi, saya di sini berdasarkan fakta yang ada.

Kami cuma mahukan Selangor bertambah kukuh. Dengan ada pemimpin peringkat nasional (Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Dun Kajang) itu akan memberikan satu mesej yang besar kepada rakyat bahawa Pakatan serius dalam menjadikan Selangor sebagai ‘launching pad’ untuk mendapatkan Putrajaya,” jelasnya.

Beliau juga turut mengakui bahawa Khalid sudah mengemudi pentadbiran di Selangor dengan baik dan cemerlang, tetapi parti mahu mengukuhkan kedudukan di Selangor seperti yang didakwa beliau.

Azmin dalam masa sama dilihat mengambil pendekatan selamat dalam komennya dengan kerapi mempertahankan Khalid yang didakwanya sudah membina satu asas yang kukuh di Selangor walaupun ramai tahu Azmin  ’lunyai dikerjakan’ Khalid dalam isu PKNS sebelum ini.

UTAMAPOLITIKAmaran: Jika tukar kerusi MB, PAS mahu Iskandar Samad

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium