Jumpa Bubur Lambuk Yang Sedap Di Pekan, Tapi Saya Perlu Kacau Sendiri – @NajibRazak

    Persoalan Datuk Seri Najib Tun Razak di mana beliau boleh mendapatkan bubur lambuk yang sedap, akhirnya terjawab apabila juadah itu ditemuinya di Pekan, Pahang.

    Bagaimanapun, ada syarat yang terpaksa dipatuhi iaitu Perdana Menteri perlu mengacau sendiri hidangan wajib setiap kali tibanya bulan Ramadan yang mengandungi beras, daging dan pelbagai rempah ratus itu.

    “Soalan saya tentang di mana hendak mencari bubur lambuk yang sedap sudah terjawab! Jawapannya sudah tentulah di Pekan, Pahang tapi saya terpaksa kacau sendiri.

    “Harap-Harap bubur lambuk saya ini dapat sambutan warga Pekan,” seloroh beliau dalam status terkini di laman sosial Facebook dan Twitter.

    Najib turut berkongsi gambar beliau lengkap bertopi Chef, bersarung tangan dan memakai apron yang sedang mengacau bubur lambuk bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob sambil diperhatikan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Program mengacau bubur lambuk itu diadakan di Kediaman Perdana Menteri, Sri Kenangan Peramu Jaya, Pekan petang tadi.

    Beliau berada di Pekan hari ini bagi menyampaikan dividen Risda kepada pekebun kecil dan geran hak milik tanah kepada 172 peneroka Felda Chini Timur 3.

    Najib turut melahirkan kegembiraan setiap kali pulang ke kawasan Parlimennya itu kerana penduduk akan menyambut beliau dengan senyuman.

    “Kalau boleh, setiap hujung minggu saya mahu pulang ke Pekan namun jadual saya tidak mengizinkan,” katanya.

    Perdana Menteri turut berbuka puasa dan menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama-sama penduduk Pekan sebelum menyampaikan bantuan kepada warga emas dan ibu tunggal di Masjid Al-Muhajirin, Batu 8, Lepar.

    Exit mobile version