Kemelut Pakatan Rakyat: PR masih wujud, PAS masih setia – Hadi - pakdin.my

hadi-awang-masa-depan-pakatan

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus menyindir DAP kerana bersikap terburu-buru mengisytiharkan PR sudah tidak wujud lagi.

Ini kerana bagi Hadi DAP tidak faham dengan maksud ‘PR’ sehingga membuat andaiannya tersendiri.

Sehubungan itu tegas Hadi, PR masih wujud dan belum berkubur.

“Itu kenyataan peribadi, pada saya ia merupakan kenyataan yang tidak tepat kerana satu parti bukanlah (boleh dipanggil) Pakatan. Pakatan mesti merangkumi banyak parti…boleh bukalah kamus dewan apa makna Pakatan…sorang-sorang boleh dipanggil Pakatan ke? Tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya sebaik sahaja selesai kuliah Jumaat di Rusila, Jumaat.

PR merupakan pakatan tidak rasmi yang dibentuk pada 1 April 2008 oleh DAP, PAS dan PKR selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Ditanya sama ada status Pakatan itu masih lagi wujud, Abdul Hadi berkata: “Ya, masih lagi wujud”.

Menurutnya setakat ini PAS belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan DAP bubar Pakatan Rakyat dan PAS juga belum terima kenyataan rakan sekutunya, PKR.

“…PKR tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kami berpisah dan menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada…dan DAP setakat ini, kami tak dapat keputusan secara rasmi (cuma) kami dapat melalui laporan media sahaja,” katanya.

DAP menerusi Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP sebelum ini mengumumkan parti itu kini memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi kerana tidak lagi dapat bekerjasama dengan presiden PAS yang didakwa ‘tidak jujur’ dan gagal untuk membincangkan dengan anggota Pakatan Rakyat yang lain berhubung rancangan PAS untuk meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Ini termasuk hasrat Abdul Hadi untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO selain menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah isu panas itu kian berpanjangan apabila jawatankuasa pusat DAP yang bermesyuarat pada 15 Jun memutuskan PR sudah tidak lagi wujud berikutan disebabkan Muktamar ke-61 PAS pada awal bulan ini telah meluluskan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan DAP setelah DAP secara rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS itu.

PAS mendakwa pemimpin DAP telah menyerang kepimpinan Abdul Hadi sehingga menyebabkan parti itu memutus hubungan dengan DAP.

Ditanya sekiranya PKR lebih menjurus memilih untuk bersama-sama DAP berbanding PAS, Hadi berkata, beliau tidak akan membuat keputusan sebelum PKR keluarkan kenyataan.

“Sehingga PKR ada keluarkan kenyataan, kemudian barulah saya boleh buat keputusan. Terpulang kepada PAS dan terpulang kepada PKR. Kalau PAS tak setuju PAS boleh keluar, PKR tak setuju PKR boleh keluar. Sehingga hari ini PAS tak buat kenyataan keluar Pakatan.

“Kami sayangkan perpaduan kaum kerana mempunyai masyarakat majmuk di Malaysia. Terpulang kepada masyarakat menilai kenyataan dia (Guan Eng) tu,” katanya.

UTAMAPOLITIKKemelut Pakatan Rakyat: PR masih wujud, PAS masih setia – Hadi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium