Khalid Samad Perlu Fahami Perlembagaan negara sebelum menuding jari - pakdin.my

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad digesa membaca dan memahami Perlembagaan negara berhubung bidang kuasa pihak berkuasa agama Islam negeri sebelum menabur fitnah iaitu mengaitkannya dengan UMNO.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah sebuah badan agama yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu dan tidak bersangkut paut dengan UMNO.

“Apa ada kena mengena dengan UMNO? Kalau polis yang tangkap mungkin ada kaitan kerana pasukan tersebut berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), tetapi JAIS tidak.

“Adakah UMNO yang suruh dia (Khalid) beri ceramah walaupun dia tiada tauliah? Saya tidak tahu kalau dia tidak begitu cerdik mahu menurut kata UMNO.

“Bagaimanapun, Khalid seolah-olah menggambarkan UMNO yang menyuruhnya berceramah. Kita (UMNO) mengadu kerana ceramah mereka tidak berasas,” katanya pada Minggu Perkasa Putra Pelajar Baharu Semester Pertama Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan.

Noh mengulas dakwaan Khalid bahawa JAIS yang menjalankan tugas berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 mengamalkan diskriminasi dan bersekongkol dengan UMNO.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas itu turut mendakwa peraturan tauliah digunakan untuk menyekat pergerakan Pas mengadakan ceramah di masjid dan surau.

Menurut Noh, Pas kini yang sudah hilang punca berikutan pendirian tidak tetap berhubung pelbagai isu terutama perjuangan asal parti itu menyebabkan pemimpinnya hilang fokus dan bertindak melulu dengan menuding jari kepada UMNO dalam isu berkenaan.

Sambil menyifatkan Pas masih tidak dapat lari daripada taktik kolot tersebut, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, kepimpinan parti tersebut meskipun secara luaran dilihat cerdik, namun sebenarnya tidak.

“Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pernah didakwa sebegini. Jadi, dia (Khalid) kena faham kenapa kena ada lesen, macam kita bawa kereta, kalau lesen kita tamat tempoh, salah atau tidak?

“Bolehkah kita beritahu mahkamah bahawa kita tidak pernah kemalangan dan mengapa kita perlu ada lesen? Boleh tidak kita cakap begitu? Jika pakar sekalipun, apabila undang-undang kata harus ada tauliah, kenalah ada tauliah,” ujarnya.

———————————–

Khalid tidak dibenar ceramah di masjid, surau di Selangor

SHAH ALAM 8 Sept. – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) secara rasmi mengeluarkan arahan kepada nazir-nazir masjid serta pengerusi surau supaya tidak membenarkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengadakan ceramah, mengajar, memberikan tazkirah serta berkhutbah di masjid dan surau di seluruh negeri ini.

Arahan itu dikeluarkan oleh Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa menerusi satu kenyataan di sini hari ini yang menyatakan bahawa Khalid tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor.

Menurutnya, arahan itu dibuat berlandaskan Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, menyatakan mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan.

Jelasnya, berdasarkan seksyen tersebut, apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

”Justeru, YB (Yang Berhormat) Khalid Abdul Samad tidak boleh membuat apa-apa penyampaian agama termasuklah tazkirah, ceramah, kuliah atau apa-apa pengisian agama di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh Selangor ekoran ketiadaan tauliah daripada MAIS.

”MAIS dengan ini mengingatkan dan mengarahkan nazir masjid dan pengerusi surau seluruh Selangor supaya tidak menjemput, membenarkan atau memberi peluang untuk YB Khalid Samad atau mana-mana ahli politik untuk memberikan ceramah, mengajar, tazkirah atau khutbah berkaitan agama Islam kecuali mempunyai tauliah MAIS yang masih berkuatkuasa (sah),” katanya.

Mohamad Adzib turut menyatakan, MAIS juga menolak rayuan Khalid sebelum ini berhubung penarikan balik tauliah dalam satu keputusan yang telah dibuat melalui Jawatankuasa Tauliah MAIS Bilangan 3/2011 yang telah bersidang pada 23 Jun lalu.

Menurutnya, penolakan rayuan tersebut diputuskan selaras dengan perkenan Sultan Selangor yang juga Ketua Agama Islam Negeri untuk tidak memberikan tauliah mengajar atau berceramah mengenai agama Islam kepada mana-mana ahli politik terutamanya di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor.

Selasa lalu, Khalid dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memberikan keterangan berhubung siasatan atas dakwaan mengadakan ceramah tanpa tauliah di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, Klang bulan lalu.

Bagaimanapun semalam, Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas II Selangor menyerang pihak berkuasa agama itu menguatkuasakan enakmen tersebut terhadapnya apabila mengaitkannya dengan UMNO.

Sambil menyatakan tauliah penceramah tidak perlu, beliau menyatakan JAIS sebagai sebuah badan yang tidak bebas apabila menuduh para pegawai penguatkuasa yang menjalankan tugas berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 itu mengamalkan diskriminasi dan bersekongkol dengan UMNO untuk kepentingan politik.

UTAMABERITAKhalid Samad Perlu Fahami Perlembagaan negara sebelum menuding jari

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium