Arab Saudi halang Iran sertai mesyuarat OIC

TEHRAN – Arab Saudi menghalang delegasi Iran menyertai mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah hari ini, di mana rancangan damai Timur Tengah akan dibincangkan, kata Kementerian Luar Iran.

Jurucakap kementerian itu, Abbas Mousavi memberitahu Islamic Republic News Agency (IRNA) bahawa pihak berkuasa Arab Saudi enggan mengeluarkan visa kepada Iran walaupun Setiausaha Agung OIC ,Yusuf Bin Ahmed Al Uthaymeen mengundang delegasi negara itu.

“Kerajaan Arab Saudi telah menghalang penyertaan delegasi Iran ke mesyuarat tersebut bagi mengkaji ‘Perjanjian abad ini’ di ibu pejabat OIC,” kata Mousavi sambil menambah Tehran telah mengemukakan aduan terhadap Riyadh berhubung ‘penyalahgunaan kedudukan sebagai tuan rumah untuk ibu pejabat OIC’.

Pegawai Iran itu menyatakan banyak negara telah menuduh Arab Saudi ‘mengeksploitasi kedudukannya sebagai tuan rumah OIC bagi kepentingan politik’, lapor Middle East Monitor.

Beliau berkata, Riyadh ‘menghalang OIC daripada melaksanakan aktiviti utamanya’ dan menimbulkan ‘keraguan’ dengan terus menjadi tuan rumah kepada ibu pejabat pertubuhan itu.

Pihak berkuasa Arab Saudi tidak mengulas mengenai perkara itu.

Arab Saudi dan Iran terlibat dalam peperangan proksi bagi mendapatkan pengaruh di Timur Tengah. Kediua-dua negara itu menyokong pihak yang bertentangan dalam konflik Syria dan Yemen.

OIC yang dianggotai 57 negara dari empat benua ditubuhkan pada 1969 merupakan pertubuhan kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelan perdamaian dikenali ‘Perjanjian abad ini’ pada Selasa lalu di Washington yang dihadiri Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, namun Palestin tidak menghadirinya.

PBB telah menolak pelan tersebut dengan menyatakan ia tidak berlandaskan garis panduan pertubuhan itu tetapi membawa visi peribadi Trump dalam menyelesaikan konflik dua negara itu.

Pelan itu juga ditolak semua parti di Palestin, Iran dan Turki.

Pada Sabtu lalu, Liga Arab yang mengadakan mesyuarat tergempar mengumumkan ia menolak pelan perdamaian tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘tidak memenuhi hak minimum dan aspirasi rakyat Palestin’. – Agensi