Bekas Ahli Majlis Sabak Bernam dari PKR dipenjara setahun, denda RM110,000 - pakdin.my

SHAH ALAM: “Awak sepatutnya mengisytiharkan semuanya dalam mesyuarat itu kerana ada kepentingan, tidak perlu takut, bukannya mendiamkan diri. Sekiranya buat pengisytiharan, tindakan ini menunjukkan ketelusan dan bukannya mengikut pintu belakang, ini jenayah besar.”

Itulah antara butiran penghakiman Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen di sini selepas mendapati bekas Ahli Majlis di Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Mohamad Fauzi Ahmad,50, bersalah atas tujuh daripada 12 pertuduhan yang dihadapkannya pada 27 Februari tahun lalu.

Mohamad Fauzi yang juga merupakan bekas Ketua Cabang PKR Sungai Besar itu dijatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM110,000 atas kesalahan salah guna kuasa dan memberikan suapan antara Mei hingga September 2016.

Hakim Rozilah menetapkan hukuman dijalankan serentak dan turut memerintahkan bapa kepada empat anak itu dipenjara 18 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Fauzi didakwa menggunakan jawatan sebagai ahli majlis untuk mendapatkan suapan apabila mengambil bahagian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan MDSB yang memutuskan memilih syarikat milik anaknya iaitu Ligat Bina Enterprise untuk dilantik sebagai penganjur Ekspo Raya 2016.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat MDSB pada 13 Mei 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi enam lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan suapan RM16,000 kepada tiga individu sebagai dorongan kesemua mereka mengundi syarikat tersebut sebagai penganjur ekspo tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di empat lokasi antaranya di MDSB, Pejabat PKR Cabang Sungai Besar dan sebuah bank antara Mei hingga September 2016. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Dalam prosiding sama, mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah dan dibebaskan atas lima pertuduhan rasuah lain bagi tujuan yang sama.

Peguam mewakili tertuduh, Noor Stevlana Mohd. Noor Noordin memohon jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya mempunyai dua isteri dan dua daripada empat anaknya masih kecil.

“Walaupun didakwa atas pelbagai kesalahan, anak guam saya menunjukkan kewibawaan dalam membantu masyarakat dan menjaga kebajikan penduduk setempat,” ujarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab memaklumkan bahawa kesalahan dilakukan tertuduh serius kerana tindakan melobi untuk undi syarikat telah menghalang peluang syarikat lain yang boleh melakukan kerja lebih baik.

Hakim Rozilah kemudiannya membenarkan permohonan tertuduh ditangguhkan seperti dipohon pihak pembelaan, namun menetapkan ikan jamin RM30,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga diminta memfailkan notis rayuan sebelum 24 Disember ini.

UTAMABERITABekas Ahli Majlis Sabak Bernam dari PKR dipenjara setahun, denda RM110,000

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium