Bekas menteri bidas kenyataan ‘mengelirukan’ Lim tentang Lebuh Raya Pan Borneo

Bekas menteri kerja raya Fadillah Yusof membidas Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana mendakwa Putrajaya akan jimat RM3.1 bilion dengan membatalkan perjanjian dengan rakan pelaksana projek (PDP) Lebuh Raya Pan Borneo.

Fadillah menggambarkan kenyataan Lim itu, bahawa kos projek boleh turun kepada RM18.8 bilion daripada RM21.8 bilion jika dilaksanakan kerajaan secara konvensional, adalah “mengelirukan dan bertujuan untuk menipu”.

Beliau berkata sasaran asal kos projek itu dihadkan kepada RM16.488 bilion dan bukan RM21.9 bilion, dengan sasaran tarikh siap pada akhir 2021.

“Sehingga kini, jadual pelaksanaan di landasan yang betul sementara kosnya terkawal,” kata ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Beliau menambah PDP projek itu pada Mac mengumumkan ia boleh mencapai lebih banyak penjimatan iaitu sebanyak RM2 bilion daripada sasaran kos asal oleh sebab reka bentuk yang cekap, serta pengurusan kawalan kos dan perubahan.

“Oleh itu, sasaran kos asal sekali lagi disemak kepada RM15.13 bilion sekarang ini, angka yang lebih rendah daripada kos asal RM21.9 bilion yang dinyatakan Lim, dan kos semakan RM18.8 bilion.”

Beliau berkata kerajaan lepas mengguna pakai model PDP kerana kejayaan dalam projek MRT 1 yang menyiapkannya lebih rendah daripada bajet asal dan dalam batas waktu.

Model PDP itu, kata Fadillah, memberi insentif kepada syarikat untuk mengawal kos kerana kos lebihan akan membawa kepada penalti yang berat dalam bentuk pengurangan.

“Itu juga sebabnya kenapa kerajaan Pulau Pinang mengamalkan model PDP untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion.

“Dalam keadaan sekarang, DAP tidak ada rekod cemerlang dalam mencapai kos yang disasarkan dan tarikh siap yang disasarkan bagi projek prasarana mereka di Pulau Pinang.

Fadillah berkata projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak, yang sepatutnya siap pada akhir 2021, boleh ditangguhkan dan kos lebih tinggi daripada sasaran kos semasa sebanyak RM15.13 bilion.

“Apabila itu berlaku, semua rakyat Sarawak tahu siapa bertanggungjawab.”

2 KOMEN

  1. Comments

    comments

Comments are closed.