Berikan Hak Kepada Ahli Dewan Rakyat Pilih PM

BENARKAH Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad masih relevan dan diperlukan oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan? Adakah beliau masih layak menjawat jawatan PM atau perlu ditukarkan?

Persoalan ini kritikal apabila ada desakan dan tuntutan dari kelompok tertentu yang mahukan jawatan Perdana Menteri yang kini dikuasai Pakatan Harapan diserahkan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim kerana kononnya telah dimeterai perjanjian bahawa Tun perlu serah kuasa kepada Anwar dalam tempuh 2 tahun selepas PRU ke-14.

Tetapi Tun kelihatan agak ragu-ragu untuk menyerahkan jawatannya, dan kini terdengar pula yang PAS dan blok pembangkang mahu menghalang peralihan kuasa ini. Mengapa ini berlaku?

Tun berkemungkinan enggan menyerahkan jawatan berkenaan kerana beliau kenal sangat Anwar Ibrahim. Beliau tahu kemampuan, akhlak dan keperibadian Anwar dan sudah pastilah jika apa yang Tun tahu itu mudarat buat rakyat dan negara, beliau bertanggungjawab untuk tidak berdiam diri.

PAS pula sebagai sebuah Gerakan Islam, memang sentiasa meredah arus politik negara dengan meletakkan matlamat menobat dan mendaulatkan Islam sebagai keutamaan dan agenda utamanya. Apa suasana sekalipun PAS sama ada bersendirian ataupun dengan sesiapa yang berkongsi kesedaran dengannya, PAS akan ke hadapan dalam memperjuangkan agenda ini.

Pasca PRU14, bukan sahaja PAS malah seluruh negara melihat kuasa politik Melayu Islam dalam kerajaan buat pertama kali dalam sejarah menguncup dan mengecil. Ini berlaku kerana parti-parti politik Melayu telah bersaing sesama sendiri dan akhirnya parti politik bukan Melayu berjaya menangguk di air keruh dan muncul sebagai parti yang dominan dalam kerajaan.

Akibatnya segala status sosial dan kepentingan orang Melayu tergugat, kerana kuasa dominan yang menguasai kerajaan tadi memiliki agenda dan perjuangan yang berbeza yang tidak pernah meletakkan perjuangan memartabatkan kepentingan Islam dan umat Melayu dalam agenda mereka. Terhakisnya kekuatan kuasa politik orang Melayu ini bukannya reka-rekaan malah pernah diakui oleh Perdana Menteri sendiri.

PAS melihat apabila bukan Islam yang dominan dalam kerajaan, terutama yang ekstrem seumpama DAP, maka pada siapakah lagi yang boleh diharapkan untuk berjuang dan mempertahankan nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara?

Suka tidak suka, setakat ini Tun Dr Mahathir sebagai PM dilihat sebagai benteng menyekat kemaraan politik DAP dalam kerajaan. Ini dapat dilihat dalam beberapa perkara, dan ketegasan Tun ini tidak pernah disenangi rakan-rakan DAP-nya itu.

Tun mempertahankan hak pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik mendapat perlindungan dalam negara, ini bertentangan dengan kehendak DAP yang mahukan Dr Zakir dihantar balik ke India untuk menghadapi dakwaan. Tun tunduk kepada desakan parti-parti politik dan NGO Melayu Islam dalam isu ICERD dan Statut Rom.

Tun juga tegas dalam isu komik pro Komunis yang diedarkan ke sekolah-sekolah serta dalam isu UEC, pembelajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah serta tuntutan diadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

Tun mesra membantu kerajaan-kerajaan negeri Melayu Kelantan dan Terengganu, melepaskan royalti petroleum ke Terengganu dan memberi peruntukan ‘one off’ ke Kelantan kita yakin atas ketulusannya mahu melihat rakyat di negeri-negeri ini yang majoriti Melayu turut membangun dan mendapat pembelaan serta tidak lagi ketinggalan walaupun tidak disenangi DAP.

Isu-isu ini jika diserahkan pada DAP pasti mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat dan boleh mengancam kestabilan hubungan antara kaum dan agama. Tindakan Tun mendapat pujian walaupun mungkin kita berbeza gelanggang politik, isunya mampukah Anwar mempertahankan perkara-perkara ini atau akan tunduk dan longlai pada desakan DAP?

Atas ancaman inilah PAS sebenarnya bangkit mahu mempertahankan agar Tun dikekalkan sahaja sebagai PM hingga ke penghujung penggal, apa guna berlaku peralihan kuasa di separuh jalan sedangkan peralihan itu sendiri bakal mengundang mudarat buat umat Islam dan negara.

Tun kelihatan keberatan untuk serah jawatan, kelompok Anwar pula nyaring mendesak Tun melepaskan jawatan, negara berhadapan dengan kecelaruan dan konflik yang semakin rumit dan kacau. Jalan penyelesaiannya adalah kembali ke Dewan Rakyat kerana institusi Parlimen ini merupakan forum di mana suara rakyat berhimpun.

Wakil-wakil rakyat seramai 222 orang yang diberikan mandat dan dipilih rakyat dalam PRU lalu sewajarnya membuat keputusan.

Dalam hal ini kelompok Anwar mahukan jawatan PM dan melihat Tun tidak serius mahu melepaskan jawatannya, maka tindakan terbaik dan mengikut lunas demokrasi dan undang-undang negara adalah untuk mereka membawa usul undi tidak percaya terhadap Tun. Biar wakil-wakil rakyat memutuskan menyokongnya atau tidak.

Jika mereka atas apa sahaja sebab enggan melakukan perkara ini, maka biarlah Tun kekal sebagai PM hingga ke penghujung penggal, kerana itu sebagaimana diumumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, wakil-wakil rakyat PAS telah diputuskan untuk membawa Usul Undi Percaya terhadap Tun dalam sidang awal Mac ini.

Biar rakyat sendiri lihat siapa yang mahukan Tun dan siapa yang tidak. Jika ada yang tidak menyokong Tun khasnya dari kalangan PH sendiri, maka dari sudut moral mereka harus menarik balik sokongan terhadap Tun dan ketika itu Tun berhak mencari sokongan baru di kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain. Kesemua proses ini adalah operasi demokrasi yang tidak bertentangan dengan undang-undang.

Jika ditakdirkan Ahli—ahli Dewan Rakyat PKR pro Anwar, DAP dan PAN memilih untuk tidak menyokong Tun maka sekurang-kurangnya mereka punya maruah. Jika mereka punya sokongan 112 wakil atau lebih maka sekali gus mereka berjaya dan Tun wajar melepaskan jawatan PM.

Namun jika mereka gagal, Tun pula berhak menggantikan mereka dan ketika itu jika Tun punya 112 sokongan atau lebih, maka berubahlah komposisi parti dalam kerajaan Tun, Tun tetap PM tetapi keahlian parti yang menyokongnya sebagai PM berubah, itu amalan demokrasi yang dibenarkan.

Kerana itu kita mengharapkan agar Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menghalang usul PAS ini kerana ia membuka saluran buat rakyat bersuara melalui wakil-wakil rakyat mereka di Dewan.

Sehubungan dengan itu jika atas apa sebab sekalipun Tun tidak lagi yakin pada sokongan PKR pro Anwar, DAP dan PAN, tanpa menunggu sidang Parlimen, Tun sudah boleh berunding dan mendapat sokongan baru dari baki wakil-wakil Dewan Rakyat selain kelompok tadi.

Jika cukup bilangan melebihi 112, Tun sudah boleh memaklumkan Yang Dipertuan Agong bahawa sokongan terhadapnya sebagai PM kini telah berubah dan jika Yang Dipertuan Agong berpuas-hati beliau boleh terus merombak Kabinet mengeluarkan mereka yang menentangnya dan melantik mereka yang bersetuju dengannya.

Ini juga proses yang dibenarkan demokrasi dan tidak bertentangan dengan peraturan dan undang-undang negara.

Apa pun berilah peluang pada wakil-wakil rakyat iaitu Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk bersuara. Bersama kita menjunjung Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
HarakahDaily