26.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 28, 2020

Hampir Setahun Berlalu Tragedi Berdarah Simunul Dalam Ingatan

SEMPORNA-WIRA-TERKORBAN

Tanggal 2 Mac 2013 menjadi titik sejarah hitam buat penduduk perkampungan air Sri Jaya Simunul yang terletak di pinggiran pekan Semporna, bahagian pantai timur Sabah.

Di sinilah berlakunya tragedi berdarah yang menggemparkan jutaan rakyat Malaysia, 19 hari selepas negara dikejutkan dengan pencerobohan sekumpulan bersenjata yang mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Bermula dengan insiden pencerobohan di Tanduo itu, sebuah kampung terpencil yang terletak kira-kira 140 kilometer dari pekan Lahad Datu, kawasan itu kemudian menjadi medan pertempuran antara pasukan keselamatan negara dan penceroboh Sulu, yang melarat ke beberapa kampung hinggalah ke perkampungan air Sri Jaya Simunul.

Mengimbas kembali insiden pada 1 Mac 2013 di Tanduo, selepas beberapa hari rundingan mengusir keluar penceroboh itu dilakukan, pertempuran berlaku antara kumpulan penceroboh itu dengan anggota pasukan keselamatan yang mengorbankan dua anggota polis komando VAT 69.

(Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia turut terbunuh bertempur di Sungai Nyamuk, Tanjung Batu dan seorang lagi terkorban dalam kemalangan di Jalan Tungku, Kampung Bakapit semasa operasi di Lahad Datu).


Sehari selepas itu, Kampung Sri Jaya Simunul pula bermandikan darah apabila enam anggota polis terkorban dalam serangan hendap penceroboh.

Keadaan perkampungan air itu, yang biasanya tenang, bertukar menjadi kelam kabut dan kecoh akibat insiden serang hendap itu.

Kini selepas hampir setahun, keadaan di Simunul kembali tenang. Tinjauan mendapati rumah yang menjadi lokasi tragedi itu telah dipisahkan dari jambatan yang menghubungkan sesebuah rumah di sekelilingnya dan penduduk kampung bebas menjalankan kehidupan seharian mereka.

Biarpun begitu, tragedi itu masih segar dalam ingatan penduduk kampung di sekitar Kampung Simunul dan begitu mendalam kesannya bagi sesetengah mereka.

Anak muda Mohd Zainal Marasad, 18, berkata dia masih ingat kejadian itu yang berlaku ketika azan Maghrib berkumandang kira-kira 6.30 petang.

Ketika itu Mohd Zainal dan anggota keluarganya berada di rumah, bersebelahan dengan rumah yang menjadi lokasi serangan.

“Kami nampak cahaya dan dengar bunyi tembakan. Selepas bunyi tembakan, kami meniarap ketakutan…karan (elektrik) pun mati dalam beberapa minit ketika itu,” katanya kepada wartawan dan jurufoto yang melawat lokasi insiden serangan hendap itu, baru-baru ini.

Trauma dengan kejadian itu, sukar baginya untuk melupakan tentang apa yang dilihat di hadapan matanya.

semporna-mayat-penceroboh3


Ketua Kampung Abdul Rahim Mangsahirun, 58, berkata penduduk kampung kini sudah memulakan kehidupan seperti biasa.

“…Kami tidak ada gangguan lagi dan saya tidak ada perasaan takut berjalan dari hujung ke hujung jambatan…tetapi bila diimbas kembali, rasa macam baru semalam ia berlaku,” katanya yang menjadi ketua kampung sejak 1 Jan tahun lepas.

Abdul Rahim yang mengambil alih tugas daripada arwah adiknya, Ramlee Saraman tidak menyangka perkampungan yang aman damai itu bertukar menjadi tragedi berdarah pada 2 Mac 2013 hanya kerana penduduk tidak mengesyaki ada pengganas dalam kalangan mereka.

Pada hari kejadian, tiada sebarang perubahan malah penduduk menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa, sehinggalah terjadi kejadian yang tidak diingini itu, yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup mereka.

Abdul Rahim yang bertangungjawab ke atas keselamatan di kampung itu akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk memantau dan meminta laporan daripada penduduk jika terdapat individu mencurigakan atau yang tidak dikenali memasuki kampung itu.

Seorang penduduk tempatan, Karman Karno, 57, berkata peristiwa itu bukan mudah untuk dilupakan oleh penduduk di Semporna meskipun melewati setahun dan kini beliau sentiasa berwaspada selepas peristiwa itu yang menggemparkan dan menggerunkan penduduk kampung.

Karman yang bekerja sendiri, berkata beliau mengetahui tentang kejadian tembakan yang membunuh enam anggota keselamatan itu daripada anaknya yang bertugas sebagai anggota polis di Johor, dan tembakan memang kedengaran di pekan Semporna yang tidak jauh dari kampung itu.

“Kini kami berasa selamat juga kerana ada anggota polis berjaga dan kerap membuat rondaan di kawasan ini. Tetapi bukan mudah bagi penduduk kampung hendak melupakan peristiwa itu walau sudah hampir setahun berlalu,” kata Karman.


Rentetan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu yang mendarat di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu itu, pertempuran dan dan kemudian kejadian berdarah di Kampung Simunul Semporna, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) pada 7 Mac.

Esscom kini diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, dan ia merupakan ejen penguatkuasaan bagi Zon Selamat Sabah Timur (Esszone), yang merangkumi 10 daerah sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah.

Penubuhannya ternyata memberi nafas baharu kepada usaha memantapkan lagi keselamatan rakyat di Esszone sekaligus berjaya mengawal keadaan keselamatan di kawasan itu.

Menurut Bancian Esscom, Mohammad dipetik sebagai berkata sebanyak 1,371 penduduk berstatus warganegara di Mukim Simunul akan dipindahkan secara berperingkat ke dua petempatan baharu yang disediakan kerajaan dalam setahun dua ini.

Beliau berkata penduduk warganegara yang bakal berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Bubul Lama akan masuk dalam tempoh setahun manakala yang bakal berpindah ke kawasan Dewan Undangan Negeri Bugaya pula akan dilakukan dalam tempoh dua tahun.

Berita Berkaitan

Selepas rugi RM9.95 bilion, Umno gesa Putrajaya semak kemampuan syarikat dilantik pulih TH

Umno hari ini menggesa Putrajaya supaya melihat semula kemampuan syarikat ditubuhkan ketika pentadbiran Pakatan...

Pendakwah selebriti direman lima hari membantu siasatan kes rogol

Pendakwah selebriti direman lima hari, mulai hari ini, bagi membantu siasatan kes merogol seorang...

Seorang lagi anggota PGA cedera ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

ALOR SETAR: Seorang lagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera selepas terkena tembakan ketika...

Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

PADANG BESAR: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand,...

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

00:01:14

[Video] BN dan UMNO akan pantau perlaksanaan skim i-Sinar tidak rumit dan menyusahkan rakyat

Saya perhatikan ada yang bimbang bahawa proses pengeluaran skim i-Sinar KWSP akan tetap rumit.. Seperti yang dimaklum Menteri Kewangan petang tadi dalam Dewan Rakyat, dia...