Iktikaf 10 Malam Terakhir - pakdin.my

Ramadan kini di dalam 10 hari terakhirnya yang menjanjikan satu daripada malamnya, Lailatul Qadar, yang terbaik daripada seribu bulan.

Sabda Rasulullah SAW: “Carilah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir… (riwayat Muslim) atau pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir di bulan Ramadan (Riwayat al-Bukhari).”

Kebanyakan masjid dan surau kini mengadakan Qiamullail sebagai usaha mempergiat ibadah jemaah untuk mencari dalam satu daripada malam yang akan digandakan pahala ibadah yang sama dikerjakan selama 1,000 bulan.

Rasulullah SAW diriwayatkan telah mengasingkan diri untuk beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah SWT bersama para sahabat sepanjang tempoh itu.

Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin Al-Muqri berkata kebelakangan ini budaya iktikaf semakin mendapat tempat di hati masyarakat Islam di bulan Ramadan.

MENGENALI IKTIKAF

Perkataan iktikaf diertikan sebagai bertafakur di dalam masjid untuk mencari keredaan Allah SWT. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sesuai dengan kelapangan pelakunya tanpa had masa minimum atau maksimum.

Nabi Muhammad SAW ketika itu dapat melaksanakan tugasnya sebagai ketua umat masyarakat Islam Madinah walaupun dalam keadaan beriktikaf dan ini menjadi contoh umat Islam ketika itu.

Ustaz Ahmad berkata mengambil contoh Rasulullah SAW, pelbagai tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik tanpa meninggalkan kepentingan untuk beribadah.

Saban tahun, ada jemaah masjid itu yang melaksanakan ibadah iktikaf pada hari bekerja.

“Kebiasaannya mereka tidur di sini, dan pergi ke pejabat masing-masing selepas solat Subuh berjemaah, dan kembali ke masjid selepas waktu kerja, begitulah keadaannya setiap hari sehingga mereka pulang ke rumah.

“Pihak masjid turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk sesiapa sahaja yang mahu beriktikaf di sini, antaranya ruang khusus untuk menyimpan barang persendirian yang dipantau pihak keselamatan masjid, serta juadah untuk berbuka puasa, moreh dan sahur,” jelas beliau.

Di samping kemudahan itu, masjid berkenaan juga menyediakan kemudahan tandas dan bilik mandi yang selesa untuk jemaah serta kemudahan Internet WiFi percuma.

Terdapat juga peniaga yang menjual pelbagai keperluan harian dan ibadah, justeru para jemaah yang beriktikaf tidak perlu keluar dan masuk ke masjid untuk beriktikaf semula.

KELEBIHAN IKTIKAF

Ustaz Ahmad berkata antara kebaikan iktikaf ialah ia hanya boleh dilakukan di masjid. Dengan berniat untuk berada di dalam masjid juga sudah mendapat pahala untuk mereka yang melakukannya.

Katanya iktikaf juga melatih umat Islam melawan nafsu seperti dapat mengelak daripada tertarik kepada godaan di luar seperti terpengaruh dengan aktiviti tidak berfaedah, jualan murah Hari Raya dan lain-lain.

Mereka yang beriktikaf juga akan mendapat perlindungan dan rahmat Allah kerana masjid ialah rumah Allah, justeru sesiapa sahaja yang berada di dalamnya mendapat perlindungan daripadaNya.

Seseorang itu juga akan merasa lebih dekat atau ‘taqarrub’ dengan Allah, dan akan mendapat ketenangan jiwa dalam mengharungi kehidupan, katanya.

Dengan beriktikaf di masjid, seseorang itu akan dapat memotivasi diri untuk beribadah kerana dengan meletakkan diri dalam kelompok manusia yang berlumba-lumba melakukan ibadah, individu yang beriktikaf akan mendapat galakan untuk turut melakukannya.

Ustaz Ahmad berkata dengan beriktikaf, seseorang itu secara langsung mengimarahkan masjid dan menaikkan imej institusi itu di mata masyarakat, sekali gus dapat menarik lebih ramai orang untuk ke masjid.

Inilah satu bentuk dakwah secara tidak langsung yang dapat dilakukan oleh mereka yang berkunjung ke masjid, katanya.

ADAB BERIKTIKAF

Selaku rumah Allah, maka wajarlah sesiapa sahaja yang berada di dalamnya termasuk mereka yang beriktikaf, untuk menjaga adab di dalam masjid. Antara aspek yang ditekankan Ustaz Ahmad ialah kepentingan menjaga kebersihan dan disiplin diri.

“Sebaiknya, pastikan setiap orang menyediakan alas tidur seperti kain, tikar, atau tilam ‘toto’ untuk penjagaan kebersihan masjid, di samping memberikan keselesaan diri.

“Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang berbunyi ‘Kebersihan itu sebahagian daripada iman’, justeru dalam usaha meningkatkan iman melalui ibadah, menjaga kebersihan juga dituntut sebagai satu daripada aspek pemantapan iman,” kata beliau,

Selain itu, antara ibadah sunat yang dituntut ialah memasang niat iktikaf sebaik masuk ke masjid, sentiasa berada dalam keadaan berwuduk dan melakukan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.

“Apabila tidur, pastikan kaki tidak menghala ke arah kiblat dan kedudukan badan tidak mengganggu laluan umum atau keselesaan orang lain untuk beribadah. Hukumnya makhruh,” tambah Ustaz Ahmad.

PUSAT PERKUMPULAN UMAT

“Selain melakukan ibadah khusus, ibadah iktikaf juga adalah satu wadah untuk para jemaah saling berinteraksi dan merapatkan silaturrahim sesama muslim,” tegas Ustaz Ahmad.

Beliau berharap dengan rapatnya silaturrahim sesama umat Islam, pelbagai perbincangan boleh berlaku di masjid demi kebaikan masyarakat secara keseluruhannya, kerana itu adalah satu daripada fungsi utama masjid, sebagai tempat rujukan masyarakat.

“Budaya positif ini perlu disemai dan dikembangkan kepada semua. Semoga semua umat Islam dapat memanfaatkan hari-hari terakhir di bulan Ramadan ini dengan beriktikaf, dan budaya ini dapat diteruskan di bulan-bulan seterusnya,” katanya.

UTAMAIktikaf 10 Malam Terakhir

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium