Kes #coronavirus di Malaysia meningkat kepada 14 - pakdin.my

Malaysia merekodkan 2 lagi kes baru jangkitan koronavirus yang masing-masing membabitkan seorang rakyat Malaysia dan warga China.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata, keseluruhannya 10 kes membabitkan warga China dan baki 4 lagi ialah rakyat Malaysia.

“Kes baru melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 40 tahun yang merupakan ahli keluarga (adik) kepada (lelaki) warganegara Malaysia pertama dilaporkan (positif koronavirus) pada 4 Feb lalu.

“Kes terbaru ini mempunyai kontak langsung dengan indeks kes semasa beliau pulang untuk sambutan Tahun Baru Cina di kampungnya pada 23 Jan,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Beliau berkata, wanita itu mula mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 1 Feb lalu serta batuk pada 4 Feb.

Katanya, wanita itu kemudiannya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

“Sebaik ahli keluarganya (abang), iaitu indeks kes dikesan positif 2019-nC0V, beliau kemudiannya dijejaki pejabat kesihatan daerah (PKD).”

Dzulkefly berkata, wanita itu sedang dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Bahiyah, Alor
Setar dan dalam keadaan stabil.

“Aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.”

Katanya, satu lagi kes baru membabitkan seorang pelancong dari China yang tiba di Malaysia pada 25 Jan lalu bersama ibu dan 3 rakannya.

Beliau berkata, wanita China itu mendapatkan rawatan bagi gejala demam ringan di Hospital Kuala Lumpur.

“Doktor yang merawat beliau membenarkannya balik dengan dibekalkan ubatan bagi merawat gejala yang dialami dan juga ‘Home Assessment Tool’.

“Beliau dan ahli kumpulannya diarahkan tidak ke mana-mana bagi menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan. Hasil pemantuan PKD mendapati beliau masih bergejala.”

Katanya, pelancong itu dirujuk ke HKL untuk menerima rawatan dan siasatan lanjut pada 5 Feb dengan ujian pengesahan menunjukkan beliau positif koronavirus pada hari sama.

“Beliau kini di wad isolasi HKL dan dalam keadaan stabil.”

Sementara itu, Dzulkefly berkata, 6 kes positif koronavirus itu ialah pesakit dalam siasatan (PUI), 6 lagi pesakit ialah kontak rapat dan 2 kes rakyat Malaysia dibawa pulang dari Wuhan melalui misi bantuan kemanusiaan.

“Dari 10 Jan sehingga 6 Feb, jumlah kumulatif kes PUI jangkitan koronavirus ialah 290 orang, di mana 188 warganegara Malaysia, 95 warga China dan masing-masing seorang warga Australia, Korea, Jordan, Brazil, Kanada, Bangladesh dan Thailand.

“Enam daripadanya disahkan positif koronavirus, 277 negatif dan 7 kes masih menunggu keputusan makmal.”

Katanya, sempena ketibaan Thaipusam pada Sabtu ini, beliau menasihatkan penganut Hindu serta pengunjung mengambil langkah pencegahan awal dengan mengutamakan kebersihan diri.

“Ini boleh dilakukan dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau ‘hand sanitizer’ serta memakai penutup mulut dan hidung bagi mengelakkan dijangkiti koronavirus.

“Pusat Operasi Perubatan yang diselaraskan Hospital Selayang akan melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan bagi mencegah, membendung dan bertindak balas terhadap sebarang insiden yang mungkin berlaku.”

UTAMABERITAKes #coronavirus di Malaysia meningkat kepada 14

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium