Majlis peguam kritik SPRM tak patut dedah klip audio Najib berkait skandal 1MDB

Majlis Peguam Malaysia mengkritik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman perbualan yang didakwa antara Najib Razak dan beberapa pegawai kerajaan berhubung urusan dikaitkan dengan 1MDB dan SRC International.

Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor terkejut dengan tindakan SPRM memainkan klip audio itu dalam sidang media semalam dan menyifatkannya perkara itu pertama kali berlaku dan tidak wajar kerana ia akan mengundang orang ramai dan media membuat penghakiman sebelum siasatan bermula.

“Cara pendedahan itu tidak wajar dan menimbulkan pelbagai tuduhan terhadap SPRM, termasuk dakwaan penghinaan, subjudice, pelanggaran Akta Rahsia Rasmi 1972 dan memalukan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SPRM sepatutnya hanya memaklumkan kewujudan rakaman perbualan itu kepada orang ramai dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menyiasatnya.

Katanya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya tidak patut bercakap mengenai kesahihan rakaman itu kerana mahkamah yang patut menentukan ketulenan klip audio itu.

SPRM mendedahkan 9 rakaman audio dikatakan antara Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.

SPRM berkata, individu lain yang terbabit dalam perbualan itu ialah bekas peguam negara, Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali, Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim, bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin, Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman dan bekas pengarah kewangan Ihsan Perdana, Abdul Aziz Ismail, Nik Faisal serta Shukry.

Selain putera mahkota UAE, warga asing lain yang terbabit ialah Presiden UAE, Khalifa bin Zayed Al Nahyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Development Company dari Abu Dhabi, Khaldoon Al-Mubarak.

SPRM berkata, klip audio itu dirakamkan dari 5 Jan hingga 29 Julai 2016 yang menunjukkan seolah-olah wujud konspirasi untuk memanipulasi maklumat.

Comments

comments