24.2 C
Kuala Lumpur
Friday, October 2, 2020

Makanlah Untuk Hidup Bukan Hidup Untuk Makan

Bazir makanan di bulan ramadhan

“Makan untuk hidup atau hidup untuk makan?” Ungkapan ini bukan sesuatu yang baru malah telah diulas sekian kalinya.

Lazimnya paling ramai akan pantas memilih “makan untuk hidup” apabila diajukan soalan ini tetapi ada ketika, maaf cakap, yang sebaliknya, banyak juga yang berlaku.

Ada orang, celik mata sahaja fikir apa nak makan untuk sarapan pagi. Baru habis makan pagi sudah mula fikir ke mana pula untuk makanan tengah hari dan begitulah seterusnya, minum petang tak tinggal, apa lagi makan malam dan ada juga yang sempat lagi untuk satu pusingan makan sebelum tidur!

Soal berlebih-lebih makan ini, bagi sesetengah orang lebih rancak pada awal bulan, maklumlah dompet masih tebal berisi, bolehlah layan selera besar, makan pun mesti di restoran ‘fine dining’ atau di hotel.

Tambah mudah bila rumah dekat dengan kedai makan, restoran, warung atau medan selera yang dibuka sampai larut malam.

MAKAN DI HUJUNG JARI

Dahulu kalau hendak cari di mana ada makanan sedap, tidak payah susah-susah memerah otak, tanya sahaja rakan sekerja atau sepejabat.

Ramai yang secara sukarela boleh beritahu di mana boleh dapat makanan yang sedap-sedap yang biasa kita makan iaitu nasi lemak, rojak mamak, laksa penang, cendul, roti canai dan pelbagai makanan yang biasa dengan tekak kita.

Sekarang kalau yang tak lekang dengan gajet telefon pintar, tablet atau komputer peribadi, bolehlah, perkataan yang sering digunakan sekarang “google sahaja” !

Kalau hendak cari premis makanan 24 jam pun google, pasti dapat tempatnya.

Mereka yang kaki makan, kalau hendak makan, lebih daripada seribu daya akan diusahakan. Tanpa mengira waktu atau sejauh mana lokasinya, pasti mereka ini akan mencari juga sampai berjumpa.

TAK SALAH MAKAN

Kalau hendak diikutkan, tak salah kalau hendak makan tetapi yang perlu diberi perhatian ialah kuantiti dan waktu makan.

Ambilah contoh nasi lemak, makanan yang sudah sebati dengan gaya hidup rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau status.

Penulis cuba google di mana boleh dapat nasi lemak sedap di Kuala Lumpur, keluarlah pelbagai nama, mungkin kalau disenaraikan di sini ramai yang bersedia angkat tangan untuk berkata “betul sedap”.

Apa pun, nasi lemak bagi penulis adalah satu hidangan yang orang putih kata ‘wholesome’, sesuai dan selamat untuk dijadikan sarapan pagi, sebagai contoh, CUMA tengok dulu apa yang ada atas pinggan yang diisi dengan nasi lemak itu atau apa yang ada dalam bungkus nasi lemak!

Tengoklah juga saiz pinggan dan saiz bungkus!

Seorang pakar dietetik pernah berkongsi tips dengan penulis dalam hal nasi lemak ini dan banyak benda lain yang ada kaitan dengan penjagaan makanan dan kesihatan.

Kata beliau, kalau pun suka nasi lemak, belilah bungkus yang kecil bukan sepinggan dan janganlah ditambah dengan deretan lauk sambal sotong, rendang atau telor mata kerbau.

Cuma ada peniaga yang begitu ghairah menyediakan pelbagai lauk untuk ditambah kepada nasi lemak yang boleh bertukar menjadi nasi campur.

Ingat pesan pakar dietetik ini iaitu sebungkus kecil nasi lemak cuma mengandungi 200 kalori berbanding sepinggan nasi lemak dengan pelbagai lauk tambahan yang kalorinya boleh mencecah sehingga 800 hingga 1,000!

Begitu juga bagi mereka yang suka makan mi atau nasi goreng, beli bungkus kecil tanpa tambahan lauk!

AWASI TABIAT MAKAN

Apa pun yang penting diri sendiri yang kena tahu apa yang kita nak masukkan ke dalam mulut. Jangan tunggu sudah sakit baharu nak jaga makan dan minum kita.

Dalam soal makan ini, masyarakat Islam berkewajipan juga memastikan status halal makanan dengan sijil halal daripada pihak berkuasa berkenaan.

Banyak penyakit dikaitkan dengan tabiat makan, apatah lagi sekarang ada restoran yang buka 24 jam.

Sedar tak apa yang kita makan pada lewat malam tidak akan dihadam sebaliknya kalori akan ditukar sebagai lemak! Kalau satu malam, dua malam dan berikut malam-malam yang lainnya kita sumbat perut dengan makanan sedangkan mesin di kilang pun ada had operasinya!

Saya dimaklumkan oleh rakan sekerja bahawa di bandaraya-bandaraya utama di Australia dan India adalah sukar untuk mencari makanan selepas pukul 11.00 malam kerana penduduk di situ makan mengikut masa dan tidak lagi makan selepas itu.

Pernah ada cadangan supaya menghadkan operasi restoran 24 jam ini tetapi memandangkan banyak bantahan, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan operasi restoran berkenaan.

Baru-baru ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan membuat liputan khas tentang budaya pemakanan yang menempah maut yang dikaitkan dengan tabiat makan lewat malam.

Diharap paparan akhbar ini menyentap perhatian masyarakat umum dan menjadikan mereka lebih berhati-hati dengan tabiat makan mereka.

Nampaknya kita sendirilah kena buat peraturan jangan makan sepanjang masa dan ikut nafsu besar kita. Masyarakat Islam khususnya ingatlah pesan Rasulullah, “perut manusia itu tempat segala penyakit.”

PENYAKIT KRONIK

Jangan biarkan diri kita menjadi sebahagian daripada statistik obesiti atau penyakit kronik yang sering dikaitkan antaranya dengan corak pemakanan tidak seimbang.

Nama Malaysia sudah pun dikenali sebagai negara menduduki tempat pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mana paling ramai rakyatnya obese yakni mengalami masalah kegemukan.

Hasil National Health Morbidity Survey yang dijalankan pada tahun 2011 mencatatkan 15.1 peratus rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah obese berbanding 14 peratus pada tahun 2006.

Tidak mustahil angka ini boleh meningkat kalau dilihat kepada budaya dan tabiat makan, justeru gejala obesiti perlu dibendung segera termasuk dalam kalangan anak kecil dan remaja yang sudah dibesarkan dengan pelbagai jenis hidangan segera.

Pakar kesihatan sudah banyak kali mengeluarkan kenyataan banyak penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes, buah pinggang, jantung dan strok berpunca daripada obesiti.

Apakah kita masih tidak peduli?

Berita Berkaitan

Gagal sekat kandungan sensitif, Thailand ambil tindakan terhadap Facebook dan Twitter

BANGKOK ― Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand memfailkan aduan kepada polis jenayah siber...

Rakan sekutu berbalah berhubung jawatan KM Sabah

KOTA KINABALU: Abdul Rahman Dahlan cuba menunjukkan ekspresi biasa pada Sabtu ketika pemimpin Perikatan...

Komen

..

PRN Sabah & Pencapaian Najib – 17 DUN Dilawati, 12 Menang

Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi statistik “kejayaannya” membantu kempen BN dalam Pilihanraya Negeri Sabah yang baru lepas. Daripada...

#PRNSabah: Perjanjian Malaysia MA63 mendapat perhatian penuh Najib Razak

Perjanjian Malaysia MA63 hanya mendapat perhatian penuh kerajaan BN dahulu semasa saya PM. Di zaman sebelum itu, Tun Mahathir akan penjarakan sesiapa yang membangkitkan isu...

Arkib / Carian

993PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,347PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan