24.7 C
Kuala Lumpur
Friday, February 26, 2021

Masyarakat berilmu dapat tangkis fitnah melampau pembangkang

Najib bersalaman dengan peserta-peserta MANTAP yang tamat program masing-masing hari ini
Najib bersalaman dengan peserta-peserta MANTAP yang tamat program masing-masing hari ini

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad berkata senjata utama kepada ahli politik bagi menangkis fitnah dan dakwaan melampau pembangkang atau masyarakat hari ini adalah ilmu.

Justeru dalam melatih peserta Program Intership Mahasiswa Turun Parlimen Siri Kelima (MANTAP)  menjadi pemimpin dan individu yang berkaliber, ilmu menjadi asas penting untuk jangka masa panjang dan kesanggupan mereka bersaing serta memahami ilmu.

“Tiada jalan pintas, yang mustahak dalam membentuk demokrasi supaya berfungsi  dengan baik adalah melahirkan masyarakat berasaskan ilmu.

“Dalam dunia politik hari ini yang ditaburkan dengan fitnah, masyarakat tidak tahu bagaimana hendak menilai fitnah dan menolaknya, sebab itu senjata sebenar kepada fitnah adalah ilmu dan pengetahuan,” kata Shahrir.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu berkata demikian kepada media selepas majlis Penutup Program MANTAP di Dataran Parlimen, pada Selasa.

Turut hadir pada majlis tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Mengulas lanjut berhubung pendekatan Barisan Nasional (BN) dalam program MANTAP, Shahrir berkata ia sama sekali berbeza dengan pendekatan yang digunakan pembangkang apabila pemilihan pemimpin muda mereka dibuat bersandarkan ‘kosmetik’ dan populariti.

“Kita tidak akan bersaing tanpa ilmu, pelajar kita memang datang daripada tempat yang berilmu iaitu universiti. Ilmu yang sedikit digunakan untuk membangkang dan mengkritik tidak membawa kepada penambahbaikan dan mutu.

“Pembangkang ada pendekatan sendiri, mereka lebih kepada individu yang boleh timbulkan isu, percanggahan dan bukan berasaskan fakta. Ada mereka yang didekati lebih kepada imej fotogenik, yang lawa dan yang ada glamour,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai program MANTAP selama 45 hari sebelum ini, Shahrir berkata penglibatan mahasiswa secara langsung dengan ahli parlimen memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak memahami peranan dan fungsi masing-masing.

“Ahli parlimen berpeluang mendengar idea terkini, pandangan peserta daripada sudut mahasiswa dan generasi muda.

“Manakala mahasiswa pula berpeluang melihat  secara realiti apa yang boleh mereka belajar di peringkat parlimen masing-masing, perundangan serta kemasyarakatan,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.