32.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, February 28, 2021

Masyarakat Cina Sarawak diminta terus sokong usaha pembangunan kerajaan

adenan-satem-cina-sarawak

Masyarakat Cina diseru untuk terus bekerjasama bersama kerajaan dalam memba­ngunkan Sarawak.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, komuniti Cina sentiasa memainkan peranan penting dalam politik dan ekonomi negeri.

“Saya berterima kasih kepada komuniti perniagaan Cina yang telah memainkan peranan membina ekonomi negeri ini.

“Kita tidak menghasilkan Sarawak dengan taktik ‘pecah dan perintah’, sebaliknya dengan kesepakatan bersama, semangat kerjasama dan toleransi serta niat tulen bagi melihat negeri ini setanding bahkan lebih baik dari negeri lain di negara.

“Sarawak adalah untuk semua dan negeri ini cukup besar kepada semua,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2015 hari ini.

Beliau berkata, tidak ada banyak tempat seperti Sarawak yang mana rakyatnya dapat hidup sebagai satu keluarga.

Katanya, tidak dapat disangkal bahawa masyarakat negeri ini mempunyai perbezaan pendapat, namun tiada apa yang tidak dapat diatasi jika menghormati pandangan satu sama lain dan mencari jalan penyelesaian bersama dengan aman.

“Saya berharap bahawa semangat persaudaraan tulen dan keakraban yang dibanggakan ini akan terus berkembang dalam kalangan kita,” tegasnya.

Adenan memberitahu, beliau sebagai Ketua Menteri, tidak boleh mentadbir seorang diri termasuk menyerahkan tanggungjawab itu hanya kepada jabatan atau agensi kerajaan.
Advertisement

“Saya mengulangi bahawa saya adalah Ketua Menteri bagi semua rakyat Sarawak tidak kira kaum dan pandangan politik. Saya memerlukan soko­ngan dan kerjasama semua orang bagi menjadikan Sarawak tempat yang lebih baik kepada semua.

“Semasa sambutan tahun baharu ini, marilah kita meneruskan amalan rumah terbuka. Moga interaksi yang terjalin membolehkan meningkatkan lagi keharmonian kaum dan agama.

“Marilah kita mendukung semangat kesederhanaan dalam hubungan sesama, meskipun kita menerima pandangan dan kritikan, pandangan ekstrem dan memecahbelahkan perlu sentiasa dielakkan,” kata beliau lagi.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.