Penduduk Kampung Terjejas Dengan Serangan Militan Tidak Sabar Keluar Mengundi - pakdin.my

op_daulat-bendera-malaysiaLAHAD DATU, 3 April  — Mereka baru sahaja berhadapan insiden pencerobohan militan dari selatan Filipina dan kampung mereka musnah akibat pertempuran kumpulan itu dengan pasukan keselamatan, tetapi itu tidak melunturkan semangat mereka untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum ini.

Rata-rata penduduk kampung yang terjejas dengan insiden pencerobohan di Sabah itu tidak sabar untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi apabila tiba masanya kelak.

Omar Olang, 57, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tanagian, sebuah daripada kampung yang terjejas dengan insiden pencerobohan itu, berkata malah penduduk merasa bertuah kerana bakal ‘ditemani’ anggota keselamatan yang mengawal kediaman mereka sewaktu tempoh berkempen dan pengundian nanti.

“Saya beritahu rakan-rakan dan penduduk kampung supaya jangan takut. Ada juga yang sering bertanya bila Parlimen akan dibubarkan dan ingin turun berkempen dan mengundi,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu Ketua Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian Mahmud Mallang, 72, berkata penduduk kampung sedar akan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan yang memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka.

Beliau berkata mereka yakin untuk keluar mengundi atas faktor keselamatan terjamin dan masalah yang dihadapi mereka berhubung kerosakan harta benda telah pun diselesaikan.

“Ya kami semua tahu pasukan penilaian telah datang dan menilai kerosakan rumah dan harta benda kami. Tidak lama lagi pilihan raya umum. Jadi kami tidak perlu risau, cuma perlu banyak bersabar dan buat apa yang patut (mengundi),” katanya.

Terdapat 789 pengundi berdaftar di Labian yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku manakala terdapat 51,490 pengundi di Parlimen Silam membabitkan 25,209 pengundi di DUN Lahad Datu; 14,629 di DUN Tungku; dan 11,752 di DUN Kunak.

UTAMABERITAPenduduk Kampung Terjejas Dengan Serangan Militan Tidak Sabar Keluar Mengundi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium