Semangat Setia Kawan Di Sitiawan Sempena Rumah Terbuka Tahun Baru Cina - pakdin.my

Sesuai dengan namanya yang dikatakan berasal daripada perkataan “setia kawan”, Sitiawan yang dipilih menjadi tuan rumah Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina Sabtu ini menjadi platform bagi memupuk semangat setia kawan rakyat Malaysia.

Terletak berhampiran Beruas dan Bota, Sitiawan yang mempunyai penduduk terdiri daripada kaum Melayu, India dan Cina dilihat sebagai pilihan yang tepat untuk menjadi tuan rumah majlis rumah terbuka itu.

Lebih 50,000 masyarakat berbilang kaum dan dari pelbagai lapisan masyarakat dijangka mengunjungi majlis itu di padang Lapangan Terbang Sitiawan.

Lebih istimewa, mukim terbesar di Daerah Manjung itu akan turut menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan para pemimpin negara yang akan memeriahkan lagi sambutan perayaan masyarakat Tionghua itu.

PENGHORMATAN KEPADA PENDUDUK

Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2012 di Sitiawan disambut dengan penuh teruja oleh masyarakat setempat, terutama masyarakat Cina di sekitar kawasan itu.

Pengerusi Kesatuan Pekerja-Pekerja Perikanan Pulau Pangkor, Beh Chew Ning, 63, berkata beliau sangat gembira apabila mendapat berita sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan tahun ini akan diadakan di Sitiawan.

“Saya sangat teruja dengan sambutan yang bakal diadakan di sini dan bangga kerana Perdana Menteri di samping kesibukannya tetap akan hadir memeriahkan sambutan itu.

“Pertama kali dalam sejarah beliau (Perdana Menteri) hadir pada majlis yang julung kali diadakan di daerah Manjung,” katanya sambil menjelaskan bahawa beliau tidak sabar untuk bertemu pemimpin nombor satu negara.

BANTU RANCAK EKONOMI SETEMPAT

Sementara itu, peniaga barangan runcit, Ang Hun Huat, 51, berharap kehadiran Najib dapat merancakkan lagi pembangunan dan membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

“Program sambutan Tahun Baru Cina ini secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai lagi pelancong ke sini,” katanya yang turut berbesar hati Sitiawan dipilih sebagai lokasi perayaan itu.

Beliau juga berharap majlis seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk semangat perpaduan kaum di negara ini.

“Kita harap negara ini akan terus makmur, aman, dan rakyat berbilang bangsa dapat hidup bersama dalam harmoni dan tebal dengan semangat 1Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Syarikat Leoco Industries Sdn Bhd, Lumut, Wong Kee Hock, 45, berharap orang ramai termasuk dari luar Sitiawan, dapat bersama-sama memeriahkan majlis rumah terbuka berkenaan.

Beliau berkata dengan menghadiri majlis itu, orang ramai berpeluang bertemu secara lebih dekat dengan Perdana Menteri yang telah bekerja keras untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Marilah kita beramai-ramai menyambut Perdana Menteri nanti, tanpa mengira kaum dan agama. 1Malaysia adalah agenda terbaik untuk rakyat,” katanya .

ASPIRASI GAGASAN 1MALAYSIA

Bermula dari pukul 5 petang hingga 10.45 malam, majlis itu dijangka menyajikan pelbagai pengisian menarik untuk pengunjung termasuk persembahan dari artis popular antarabangsa dan tempatan.

Seperti yang dijanjikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, persembahan yang disediakan pada malam itu akan mencerminkan aspirasi gagasan 1Malaysia yang akan memberi gambaran perpaduan seluruh masyarakat di negara ini.

“Perayaan sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran kementerian ini adalah yang paling hebat dan kami menjangka kira-kira 50,000 orang akan turut serta,” kata Rais baru-baru ini.

Perdana Menteri, yang dijangka tiba pada majlis itu pada pukul 8.45 malam akan disambut oleh persembahan Chingay 1Malaysia dan persembahan gendang pelbagai kaum.

Pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan artis terkenal dari dalam dan luar negara serta persembahan kesenian.

UTAMABERITASemangat Setia Kawan Di Sitiawan Sempena Rumah Terbuka Tahun Baru Cina

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium