Tawar Rasuah Kepada Calon #PRKKajang #KajangMove #pakdin.my

Seru Tarik Diri Dari PRK Kajang, Satu Penghinaan – ChewChew-Mei-Fun-Kajang-Animie

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun, Selasa menyelar Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim kerana membuat kenyataan menghina beliau (Chew) dalam ceramahnya, Isnin.

Chew berkata gesaan Teng yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor supaya beliau menarik diri dalam tempoh 48 jam daripada bertanding disifatkan amat menghina kredibiliti beliau.

“Dia (Teng) hanya menghina saya… kalau saya nak jadi Ahli Majlis, tak kan saya meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) pada tahun 2010,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Pesara Kerajaan anjuran Kelab UMNO Pesara-Pesara Kanan Kerajaan di Kajang.

Teng dalam ceramahnya menyeru beliau menarik diri daripada bertanding pada PRK ini dan sebagai ganjarannya beliau ditawarkan jawatan Anggota Majlis Perbandaran Kajang, katanya.

Chew berkata Pakatan Rakyat sengaja memperlekeh kekuatan dan perkhidmatan yang disediakannya ketika menjadi Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara selama dua penggal.

“Pakatan sengaja memutarbelit kredibiliti saya kerana mereka sedar rekod pencapaian saya baik selama ini dan terbukti bahawa saya memang berkhidmat untuk pengundi di PJ (Petaling Jaya) Utara,” katanya.

Chew berikrar akan menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan pusat agar terus membawa pembangunan di Kajang sekiranya beliau mendapat mandat daripada pengundi.

Sementara itu Timbalan Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun berkata pengundi di Kajang perlu menolak Pakatan Rakyat (PR) yang sering mengamalkan taktik kotor menyerang calon BN ketika berkempen.

Bercakap kepada pemberita selepas program jalinan mesra bersama ibu tunggal di Kampung Seri Jambu di Kajang, beliau berkata pengundi juga perlu menolak ‘suara-suara negatif’ daripada PR yang suka mempolitikkan pelbagai perkara, menyerang keperibadian calon melalui poster lucah dan menabur fitnah kononnya sekolah Cina akan ditutup jika BN menang.

“Jentera BN terutama wanita tidak pernah menggunakan taktik sedemikian untuk menyerang calon lawan.

“Sepanjang kami berkempen di kawasan Kajang, kami mengamalkan budaya kempen secara bersih dan sihat, tidak pernah sekali-kali menggunakan taktik sedemikian untuk menyebabkan ketegangan,” kata Azizah.

Beliau mengulas tindakan PR menggunakan isu pendidikan Cina dan kredibiliti calon BN bagi pilihan raya kecil Kajang Datin Paduka Chew Mei Fun semasa beliau (Chew) menjadi Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara.

Azizah menyeru jentera Wanita BN meneruskan semangat berkempen secara sihat, khususnya dalam fasa akhir berkempen, dengan bertemu penduduk, menyertai lebih banyak program lawatan rumah ke rumah supaya kemesraan dapat dijalin.

Berkaitan