PAS U Turn atau berdepan pilihan raya negeri di Selangor

dewan-ulama-pas-lulus-usul-bercerai-dengan-dap

Adakah PAS akan ‘U Turn’ dengan usul memutuskan kerjasama politik bersama DAP demi menjaga periuk nasi pemimpin-pemimpin mereka?

Persoalan ini mula timbul ekoran tekanan DAP Pulau Pinang bahawa PAS tiada pilihan dengan meminta wakil PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri, agensi serta majlis perbandaran dan jawatankuasa kampung meletak jawatan ekoran keputusan itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak perlu tunggu lama untuk membuat kenyataan itu kerana DAP sudah menduga sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat (PR) kini bertukar menjadi seteru.

Lim Kit Siang sendiri meramalkan baru-baru ini, hubungan mereka dalam pembangkang akan terkubur dan semalam pemimpin veteran DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, PR kini kini berada di penghujung jalan dan yang tinggal hanya upacara pengebumiannya.

Penasihat DAP itu berkata, ramalannya sejak dua minggu lepas menjadi kenyataan, yang PR mungkin tidak wujud lagi selepas muktamar PAS itu.

Beliau menuduh ia satu kemenangan bagi pakar strategi dan perancang plot dalam UMNO dalam konspirasi mereka membahagi dan menghancurkan PR dengan godaan kerajaan perpaduan antara UMNO dan PAS dan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Kit Siang berkata, keputusan itu bermakna politik Malaysia kini memasuki wilayah baru yang belum diterokai dan akan menerima kesannya dengan serta-merta.

“Di Pulau Pinang sebagai contoh, usul muktamar PAS itu akan membuatkannya mustahil bagi wakil PAS untuk terus bekerja di pelbagai peringkat dalam kerajaan negeri.

“Di Selangor, senario paling buruk akan termasuk pilihan raya negeri terpaksa diadakan,” katanya.

Mungkin PAS sudah bersedia sebelum ini bagi menamatkan kerjasama politik dengan DAP disebabkan parti itu beberapa kali ‘menampar’ PAS.

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan berkata, Dewan Ulamak meluluskan usul itu sebagai membalas dendam kerana terlalu banyak serangan dilakukan DAP terhadap parti Islam itu selama ini.

Namun, selepas kenyataan Guan Eng dan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu untuk melepaskan jawatan lantikan di Pulau Pinang, PAS terpaksa berfikir semula mengenai usul yang dibawa Dewan Ulamak itu.

PAS terpaksa menoleh semula kebelakangan bukan sahaja disebabkan amaran Setiausaha Agung DAP itu tetapi masa depan parti itu dalam kerajaan PR Selangor.

Walaupun, ditadbir kerajaan PKR, tidak mustahil DAP akan meminta parti itu turut mengambil tindakan serupa terhadap PAS jika mahu hubungan PKR dan DAP kekal.

Apapun kini, PAS yang dilabel parti U Turn tidak mustahil menolak usul berkenaan melalui perbincangan Jawatankuasa Pusat parti itu dan Majlis Syura Ulama.

Ini kerana usul itu diterima tanpa dibahaskan dalam Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor sebaliknya Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura – badan tertinggi PAS yang akan memutuskannya.

Jika PAS memilih untuk U Turn, ia bukan sesuatu yang pelik kerana parti itu tentu tidak mahu dipersalahkan oleh pemimpin mereka yang terpaksa melepaskan jawatan dan mungkin lebih teruk hilang kuasa dalam kerajaan Selangor.

Leave a Reply