Sumbangan untuk memastikan blog ini terus bersiaran: Maybank: 158088200693 PayPal: kidrus@gmail.com

Dewan Rakyat: Parlimen kecoh lagi isu batal Ordinan Darurat

Kekecohan berhubung pengumuman kerajaan bahawa Ordinan Darurat telah pun dibatalkan pada 21 Julai lalu berulang di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen pembangkang terus mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya menjelaskan perkara itu segera.

Antaranya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad meminta kerajaan mengesahkan sama ada perkara itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersetuju maklumat terperinci tentang pembatalan itu dijawab oleh kerajaan pada Isnin ini.

“Bagaimanapun kita cuma mahu tahu itu sahaja (sama ada pembatalan Ordinan Darurat telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong).

“Ia kerana perkara itu akan menyebabkan seluruh perbincangan (persidangan khas Dewan Rakyat) selama lima hari ini salah kerana Ordinan Darurat telah pun dibatalkan,” dakwanya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang dari UMNO, Tan Sri Noh Omar yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 turut membangkitkan persoalan serupa.

Kata beliau, pengumuman kerajaan semalam bahawa Ordinan Darurat telah awal dibatalkan bermaksud tiada guna beliau dilantik sebagai ahli jawatankuasa berkenaan.

“Yang betul kita kena cakap yang betul. Jika Ordinan Darurat telah dibatalkan maka tiada sebab untuk dibincangkan lagi di Dewan Rakyat. Kita sudah buang masa,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Exit mobile version