Utama NASIONAL JENAYAH / MAHKAMAH Polis kesan dua lelaki lepas tembakan depan rumah

[VIDEO] Polis kesan dua lelaki lepas tembakan depan rumah

LUMUT – Polis sedang mengesan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah di Sitiawan di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran bertindak melepaskan satu das tembakan yang mengenai cermin belakang kereta milik mangsa.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), salah seorang suspek telah melepaskan satu das tembakan dan mengenai kenderaan mangsa.

“Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah, namun dipercayai pistol gagal berfungsi sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut Mohd Yusri, rumah berkenaan didiami mangsa bersama isteri dan dua anaknya.

“Ketika kejadian isteri mangsa telah terdengar bunyi letupan di luar rumah pada waktu pagi, namun tidak mengendahkan perkara tersebut.

“Sekitar jam 12.45 tengah hari, wanita berkenaan telah keluar rumah untuk mengambil barang menyedari terdapat kerosakan pada cermin kereta dan menjumpai kelongsong peluru di bawah kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati ada kesan lubang pada bahagian cermin dipercayai akibat tembakan.

“Satu kelongsong peluru ditemui bersama kepala peluru di kawasan but kenderaan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Exit mobile version