Sumbangan untuk memastikan blog ini terus bersiaran: Maybank: 158088200693 PayPal: kidrus@gmail.com

[VIDEO] Palestin ucap terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia selamatkan warganya yang diculik

Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang telah menyelamatkan seorang warga Palestin yang diculik di Malaysia baru-baru ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia dan pihak keselamatan yang terlibat dalam usaha menyelamat itu.

Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang mangsa berusia 31 tahun sehari selepas diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim itu memburu anggota Hamas di Malaysia.

Selain itu, mereka (polis Malaysia) dapat mendedahkan operasi anggota Mossad dan memburu serta menjejaki rangkaiannya.

“Kami mengecam jenayah terang-terangan yang dilakukan Israel terhadap seorang daripada rakyat Palestin di Malaysia dan kami menyeru agar pelakunya dikenakan hukuman,” menurut kenyataan itu.

Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dari 29 Sept hingga 4 Okt lalu.

Seramai 11 individu berusia 21 hingga 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada 14 Okt berhubung penculikan itu.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan.

……….

11 individu termasuk seorang wanita didakwa culik warga Palestin

Sebelas individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; Faizull Hardey Mohd Isa, 40; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34, dan Raibafie Amdan, 39.

Kesemua tertuduh mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia namun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama telah menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh dijamin selepas Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi memaklumkan pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Dis ini.

Terdahulu, kesemua tertuduh tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, dengan dikawal ketat sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah.

Pada 5 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

Siasatan mendapati mangsa masuk ke negara ini pada 21 Sept lepas sebagai pelancong dan dipercayai tinggal di Eropah selain tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan ahli perniagaan.

Exit mobile version