Dua lelaki hilang selepas ambil air minuman dalam kapal tersadai - pakdin.my

PONTIAN – Dua lelaki menaiki bot ke sebuah kapal tersadai di Pulau Pisang, dekat sini semalam untuk mengambil air minuman yang ditinggalkan dilaporkan hilang apabila tidak pulang semula ke rumah masing-masing sehingga kini.

Sebelum ini dua sahabat tersebut sudah beberapa kali pergi ke kapal tersebut yang tersadai sejak awal Ramadan lalu untuk mengambil air minuman tetapi pulang dengan selamat.

Namun apabila kedua-dua mangsa, Mohd. Khair Ismail, 38, dan Mohd. Yusni Mohd. Yusof, 43, ke kapal tersebut semalam dan tiada khabar mengenai mereka sampai sekarang, keluarga mangsa yang bimbang melaporkan kehilangan tersebut kepada pihak polis.

Berikutan itu seramai lapan anggota, satu jentera, satu kereta pacuan empat roda dan bot penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan pukul 5.36 petang tadi.

“Keluarga mangsa telah membuat laporan dan polis telah menghubungi pihak bomba bagi bantuan mencari dan menyelamat.

“Operasi dihentikan seketika untuk hari ini disebabkan air terlalu surut dan mangsa gagal ditemukan.

Operasi akan dimulakan semula pukul 10 pagi esok waktu air pasang,” ujar Ketua Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd. Jalil ketika dihubungi.

Menurut Azhar, rakan mangsa yang pergi ke lokasi kapal tersebut hanya menjumpai selipar dan beg duit kedua-dua mangsa.

“Namun tidak menemui mangsa atau pun bot mangsa,” kata Azhar dan pihaknya difahamkan berdasarkan siasatan awal kapal itu membawa banyak air minuman.
Menurutnya, ramai yang pergi ke kapal tersebut untuk mengambil stok air minuman sebelum ini.

“Cuma kali ini dua mangsa tersebut yang pergi ke kapal tersebut tidak balik-balik lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

UTAMABERITADua lelaki hilang selepas ambil air minuman dalam kapal tersadai

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium