Sebelas kerusi baharu Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan diwartakan pada bila-bila selepas dibawa ke Dewan Negara nanti akan menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak bertambah menjadi 82.
Tiga daripadanya kawasan majoriti kaum Melayu atau Melanau, tiga majoriti kaum Iban, dua majoriti Orang Ulu, dua majoriti kaum Bidayuh dan satu majoriti kaum Cina.
Usul mengenai Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak itu dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pagi tadi, dan ia diluluskan pada sebelah petangnya dengan 130 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 72 lagi menolak.
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Stephan Rundi ketika dihubungi petang ini berkata seluruh rakyat Sarawak, terutama penduduk di kawasan luar bandar berterima kasih kepada Anggota Parlimen yang menyokong usul itu.
Menurutnya BN belum membuat keputusan mengenai pembahagian kerusi, dan ia hanya akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN Negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem nanti.
Adenan sebelum ini mengumumkan lima daripada kawasan baharu itu akan ditandingi parti yang diterajuinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang tidak pernah kalah walau satu kerusi sekalipun dalam mana-mana pilihan raya negeri sebelum ini.
Sepintas lalu, hampir semua kawasan baharu itu dilihat membabitkan kawasan luar bandar, dengan majoriti kaum Melayu/Melanau berada di kawasan N26 Gedong, N40 Kabong dan N57 Tellian, manakala majoriti kaum Iban di N17 Stakan, N63 Bukit Goram serta N70 Samalaju, majoriti Orang Ulu di N66 Murum dan N78 Mulu, Bidayuh di N18 Serembu serta N23 Bukit Semuja, dan satu majoriti kaum Cina di N13 Batu Kitang.
Adenan sendiri sebelum ini mengakui bahawa ramai kalangan penyokong kerajaan terdiri daripada pengundi kawasan luar bandar, dan kerajaan negeri sentiasa menghargai sokongan itu, dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk mereka.
Di Dewan Undangan Negeri ketika ini di pihak kerajaan, PBB memiliki 35 kerusi; manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) enam; Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) enam; dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) lapan, manakala di pihak pembangkang pula, DAP mempunyai 12 kerusi dan PKR, tiga, dan satu lagi kerusi Bebas.
Bagaimanapun, ketika ini wakil SUPP dan SPDP dalam Dewan Undangan Negeri kini sudah berkurangan apabila ada kalangan ADUNnya bertindak keluar parti dan masing-masing menubuhkan parti UPP dan Teras yang diisytihar “mesra BN”.
Selain Adenan, Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing sudah menyuarakan harapan untuk bertanding di dua daripada kerusi baharu itu, manakala SPDP pula turut berhajatkan dua.
Ramai yang meramalkan tiga kerusi majoriti Melayu/Melanau (Gedong, Kabong dan Tellian) akan ditandingi PBB, manakala dua lagi adalah Triboh dan Serembu boleh dikatakan pertaruhan terbaiknya.
Triboh hampir pasti ditempah PBB kerana ia dibentuk daripada sebahagian dua kawasan sedia ada, Tebedu dan Kedup, yang masing-masing diwakili ahli PBB, manakala Serembu pula diwujudkan daripada sebahagian DUN Bengoh, yang diwakili anggota SUPP dan DUN Tarat, yang diwakili ahli PBB.
Sementara itu, jika kata sepakat dicapai antara PRS dan SPDP, PRS hampir pasti akan memperoleh kawasan yang diintainya iaitu di Bukit Goram dan Murum, manakala dua lagi kawasan majoriti Iban, itu Stakan dan Samalaju, boleh ‘ditempah’ oleh SPDP.
Tumpuan ramai pastinya terarah kepada kawasan Batu Kitang untuk melihat sejauh mana kaum Cina yang menjadi majoriti di kawasan itu menyokong kerajaan.
Memandangkan Batu Kitang adalah kawasan pecahan daripada DUN Kota Sentosa dan DUN Batu Kawah yang kedua-duanya diwakili DAP, pasti ramai yang menjangka DAP pastinya akan turun gelanggang di sini.
Bagaimanapun, satu lagi sekutu pembangkang, PKR awal-awal lagi sudah membuat gerak kerja di lapangan Batu Kitang, malah sudah mengemukakan beberapa nama yang kemungkinan menjadi calon mereka di kawasan itu nanti.
Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dihubungi baru-baru ini berkata gabungan parti pembangkang, Gerakan Harapan Baru akan berbincang untuk mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi apabila tiba masa nanti.
Katanya ketika ini terlalu awal untuk dibuat rumusan kerusi mana yang akan ditandingi PKR, namun pastinya ia mahukan kawasan yang memang secara tradisinya pernah ditandinginya, selepas kerja-kerja lapangan jenuh diusahakan selama ini untuk mengukuhkan sokongan.
Di pihak BN pula umum mengetahui bahawa parti komponennya yang didominasi kaum Cina yang pastinya disandar harapan untuk bertanding di kawasan ini kini sedang berhadapan masalah besar, malah masalah yang sama turut dialami SPDP yang menyaksikan perpecahan dalaman sehingga melahirkan parti serpihan UPP dan Teras.
Di atas kertas, pembangkang mungkin agak sukar untuk memberi cabaran besar di 11 DUN baharu itu, namun umum tahu bahawa sokongan parti di sesebuah kawasan itu boleh beralih disebabkan beberapa faktor seperti undi protes, pemilihan calon tidak ‘mesra pengundi’, ataupun faktor perbalahan, perebutan, mahupun pertikaian dalaman.
Persempadanan Semula Dun Sarawak, Sepintas Lalu https://t.co/cEYuELZbAP https://t.co/4BaTARI40m
Persempadanan Semula Dun Sarawak, Sepintas Lalu: Sebelas kerusi baharu Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan… https://t.co/Qtfxqgy4kM
Persempadanan Semula Dun Sarawak, Sepintas Lalu https://t.co/meajEbsDtz
Kesuma Nordin liked this on Facebook.
Muhammad Taufiq Topek liked this on Facebook.
Persempadanan Semula Dun Sarawak, Sepintas Lalu: Sebelas kerusi baharu Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan… https://t.co/FlVrN9VYXI
Sitiey Auliey liked this on Facebook.
Safrimeen Chot liked this on Facebook.
Grenggo Yea Yeah liked this on Facebook.
Ariffin Mohd Alias liked this on Facebook.
Kay Maria liked this on Facebook.
Azhar Bin Khalit liked this on Facebook.
Hairi Azerin liked this on Facebook.
Hafiezal Fizal liked this on Facebook.
Legasi Melayu Kini liked this on Facebook.