#PRNMelaka: Kesemua calon bebas, Putra, Iman hilang wang deposit #pakdin.my

Percubaan kesemua calon Bebas termasuk “YB Viral” Datuk Norhizam Hassan Baktee dan dua parti politik untuk membuat penampilan sulung dalam pilihan raya dengan memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, berakhir dengan kehilangan deposit.

Kesemua 22 calon Bebas, lima calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan calon tunggal Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) adalah antara 34 calon yang hilang deposit dalam PRN Melaka setelah gagal memperolehi satu per lapan  atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Norhizam yang juga penyandang kerusi DUN Pengkalan Batu, hilang deposit dalam percubaannya mempertahankan kerusi tersebut setelah meraih 1,218 undi.

PRN Melaka adalah penampilan sulung buat Putra dan Iman dalam pilihan raya.

Masing-masing dua calon daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) turut hilang deposit.

Dua calon PN yang hilang deposit ialah Clarice Chan Ming Wang yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir dan Fong Khai Ling di DUN Kota Laksamana.

Calon BN yang kehilangan deposit ialah Lee Kah Sean yang bertanding di DUN Bandar Hilir dan Benjamin Low Ching Hong di DUN Kota Laksamana, manakala calon PH ialah Zainal Hassan di DUN Tanjung Bidara dan Maznah Baharuddin di DUN Ayer Limau.

Sembilan calon yang memasuki gelanggang melibatkan pertandingan enam penjuru masing-masing di tiga kerusi DUN iaitu Gadek, Asahan dan Duyong, juga hilang deposit.

Mereka ialah Azafen Amin (Bebas); Mohan Singh Booda Singh (Bebas); Laila Norinda Maon (Putra); Mohd Noor Salleh (Bebas); Azmar Abdul Hamid (Bebas); Mohd Akhir Ayob (Bebas); Gan Tian Soh (Bebas); Muhamad Hafiz Ishak (Bebas) dan Mohd Faizal Amzah (Putra).

Dalam PRN Melaka itu, calon PH bagi DUN Kota Laksamana Low Chee Leong memperolehi majoriti terbesar dengan meraih 11,494 undi, manakala calon Bebas di DUN Serkam, Datuk Dr Norazlanshah Hazali, memperolehi undi terendah iaitu sebanyak 79 undi.

BN memperoleh mandat untuk mentadbir kerajaan Melaka setelah memenangi lebih dua pertiga kerusi DUN.  Gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan. –BERNAMA

Berkaitan