[Video] Rakaman penguat kuasa terima rasuah diserah kepada polis

Aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan merentasi sempadan kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, rakaman itu baru diserahkan untuk pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan seperti polis, Imigresen, Kastam dan Majlis Keselamatan Negara.

Ujar beliau, kejadian penyeludupan iti berlaku di sempadan Padang Besar, Perlis dengan Thailand dari tahun 2017 hingga Mei 2019.

“Kejadian aktiviti penyeludupan di sempadan ini kita percaya melibatkan tepung, minyak masak, bawang, barangan runcit dan daun ketum,” katanya pada sidang media khas berkaitan pembolosan sempadan negara akibat aktiviti rasuah di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Sementara itu, Penguasa Kanan Bahagian Forensik dan Teknikal Video SPRM, Badri Azni ketika memberi penerangan mengenai aktiviti yang dirakam itu berkata, kegiatan itu berlaku antara jam 6 hingga 9 pagi iaitu tempoh waktu penggiliran bertugas anggota keselamatan.

Kata beliau, rakaman juga menunjukkan penyeludup cuba mendekati anggota keselamatan dan menghulurkan sesuatu dipercayai wang rasuah bagi membolehkan mereka menyeludup.

“Kita tidak dapat menganggarkan berapa jumlah barangan yang diseludup kerana kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Bagaimanapun, dari rakaman ringkas ini kita dapat lihat bagaimana aktiviti itu bermula dan berakhir. Penyeludup dalam kumpulan yang ramai dan bergerak mengikut modes operandi yang dirancang,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya adakah rakaman itu dibuat oleh risikan SPRM.

“Ketua saya (Latheefa) kata tadi, kita serahkan kepada polis. Kita tunggu siasatan dan arahan seterusnya,” katanya. 

LIHAT video
https://youtu.be/VALGyxxfeTc

Loading...