Salleh Seru Golongan Muda Beri Mandat Penuh Kepada Najib

Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menyeru golongan muda supaya memberi mandat penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentadbir negara pada pilihan raya umum akan datang.

Ketika membuat seruan itu, beliau berkata berbeza dengan pembangkang, Najib telah menetapkan dasar yang jelas untuk golongan belia di negara ini.

“Dasar yang ditetapkan oleh Najib begitu jelas untuk mereka…demi masa depan mereka. Lihatlah pada belanjawan (untuk tahun depan), terdapat banyak peluang untuk golongan muda, termasuk peluang pekerjaan dan kemudahan perumahan.

“Sebaliknya, pembangkang, khususnya Pakatan, adalah golongan oportunis yang hanya pandai mencipta isu untuk menarik pengundi,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan program untuk menggalakkan belia menganggotai Umno dan mendaftar sebagai pemilih di Suang Punggur di sini hari ini.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, berkata para belia, yang bakal memainkan peranan penting pada pilihan raya umum akan datang, tidak sepatutnya menentang kerajaan kerana perbuatan itu tidak menguntungkan mereka.

Beliau berkata perdana menteri telah menetapkan hala tuju yang jelas untuk rakyat dan negara ini.

Leave a Reply