COVID-19: Gempar pertama di Johor Bahru, kini sudah lapan kematian - pakdin.my

Malaysia mula mencatatkan kes pertama COVID-19 membabitkan tiga warga China yang memasuki negara melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari lalu.

Berikutan perkembangan itu, pada 25 Januari, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai supaya tidak melancong ke negara China jika tiada sebarang keperluan atau urusan penting bagi mengelakkan berlakunya jangkitan koronavirus berkenaan.

Susulan kejadian itu juga, pihak kerajaan mula merancang dan melaksanakan sistem pengesanan suhu badan di pintu masuk negara pada sehari selepas kes pertama dalam negara dicatatkan.

Sejak itu, penularan COVID-19 di negara ini mencatatkan peningkatan secara berperingkat, hingga melepasi 1,100 kes setakat Sabtu (21 Mac).

Lebih mendukacitakan, Malaysia sudah termasuk dalam senarai negara-negara terkesan sedunia, yang mencatatkan kematian pesakit akibat jangkitan COVID-19.

Demi mengelakkan penularan wabak semakin berleluasa dan lebih parah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengambil inisiatif dengan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac.

Bermula 22 Mac, jam 12:01 pagi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan dan gerakan tersebut dilihat sebagai satu langkah positif bagi membendung penularan COVID-19.

Berikut adalah imbasan rekod lapan kes kematian yang disahkan oleh KKM selepas hampir dua bulan negara digegarkan dengan ancaman pandemik COVID-19:-

Kes pertama

– Melibatkan kes ke-178, iaitu seorang lelaki warga Malaysia di Johor berumur 34 tahun, yang pernah hadir ke perhimpunan tabligh di Sri Petaling (yang dianjurkan selama 27 Februari hingga 1 Mac).
– Didapati bergejala mulai 5 Mac (12 hari sebelum meninggal dunia) dan telah dirawat di Hospital Permai pada 12 Mac selepas positif COVID-19.
– Keadaan beliau merosot dan dimasukkan ke ICU.
– Disahkan meninggal dunia pada 17 Mac.

Kes kedua 

– Melibatkan kes ke-358, iaitu seorang lelaki warga tempatan yang juga paderi berusia 60 tahun di Sarawak dan mempunyai sejarah penyakit kronik.
– Mula bergejala pada 7 Mac (10 hari sebelum meninggal dunia) dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac.
– Kesihatannya mula merosot dan dimasukkan ke ICU.
– Disahkan meninggal dunia pada 17 Mac. 

Kes ketiga 

– Membabitkan pesakit daripada kes ke-152, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun, daripada kluster jemaah tabligh.
– Mula bergejala pada 9 Mac lalu (11 hari sebelum meninggal dunia) dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah kerana mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection (Jangkitan Pernafasan Akut Teruk), selain diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
– Disahkan meninggal dunia pada jam 6:27 petang, 20 Mac.

Kes keempat

– Membabitkan kes ke-238, seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun daripada kluster jemaah tabligh.
– Dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac 2020 dengan gejala angkitan Pernafasan Akut Teruk.
– Diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi dan ketika dalam penjagaan di unit rawatan rapi (ICU).
– Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 21 Mac, jam 1.30 pagi.

Kes kelima

– Melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun warganegara Malaysia
– Mengalami demam dan batuk selama 5 hari dan telah dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada 16 Mac.
– Pada hari kedua, dipercayai mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui beliau diberi bantuan alat pernafasan.
– Dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mac 2020.
– Mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuan beliau.

Kes keenam

– Melibatkan anak perempuan kes kematian kelima.
– Seorang wanita warganegara Malaysia berumur 40 tahun.
– Mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac 2020 dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac 2020.
– Disahkan positif COVID pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama setelah didapati keadaan kesihatan beliau semakin merosot.
– Disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari pada 21 Mac 2020.

Kes ketujuh

– Melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun, mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh.
– Dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.
– Keadaan kesihatan mula merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan.
– Disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang pada 21 Mac.

Kes kelapan 

– Melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh.
– Dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020.
– Kemudian, dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac 2020 setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya.
– Disahkan meninggal dunia pada 21 Mac pada jam 4.00 petang.

Daripada jumlah ini, seramai empat individu dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling yang dilaporkan disertai belasan ribu orang.

UTAMABERITACOVID-19: Gempar pertama di Johor Bahru, kini sudah lapan kematian

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium