4,009 graduan UPSI terima ijazah, diploma #pakdin.my

Seramai 4,009 graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis Istiadat Konvokesyen UPSI ke-22 di Dewan Tuanku Canselor di Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim yang akan berlangsung selama seminggu bermula esok.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril berkata sesi pertama yang akan bermula 9 pagi esok akan disempurnakan Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Beliau berkata seramai 88 graduan akan menerima Ijazah Kedoktoran, Ijazah Sarjana (684); Ijazah Sarjana Muda (2,572); Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (343) dan Diploma (322).

“UPSI akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sukan kepada Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Tan Sri Azman Hashim, Ijazah Kehormat Sains Pertanian kepada Datuk Syed Elias Syed Ahmad dan Gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Dr Omar Abdull Kareem,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Izwan berkata istiadat konvokesyen kali ini melibatkan tujuh sidang sesi pagi sahaja bagi memberi ruang kerja-kerja sanitasi dijalankan pada waktu petang.

Menurut beliau UPSI akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi bagi mengelakkan sebarang penularan COVID-19 dan ibu bapa hanya dibenarkan menghantar graduan di Padang Kawad di Kampus Sultan Azlan Shah.

“Graduan akan dibawa dengan menaiki bas ke Dewan Tuanku Canselor dan pergerakan juga terkawal. Pesta Konvokesyen juga tidak diadakan, berikutan pematuhan SOP bagi mengelakkan menjadi tumpuan orang ramai terutamanya keluarga atau pengunjung,” katanya. — BERNAM

Berkaitan