Salleh Said Keruak gesa Muhyiddin letak jawatan - pakdin.my

salleh-said-keruak-muhyiddin

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seolah-olah satu undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu katanya, adalah wajar untuk Timbalan Perdana Menteri itu melakukan apa yang pernah dibuat oleh Tun Musa Hitam semasa berkhidmat di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu letak jawatan daripada kabinet.

“Adalah jelas bahawa kenyataan Muhyiddin semalam merupakan undi tidak percaya yang disamarkan terhadap Perdana Menteri atas dakwa membiarkan seluruh negara dalam keadan tertanya-tanya.

“Sehubungan itu, apa yang mulia dan bermaruah yang perlu dilakukan oleh Muhyiddin, sama seperti yang dilakukan oleh Tun Musa Hitam, ialah letak jawatan untuk menunjukkan bahawa beliau tidak lagi ada keyakinan kepada Perdana Menteri berdasarkan atas prinsip beliau tidak lagi boleh kekal dalam kerajaan,” katanya dalam satu tulisan di blognya pada Isnin.

Menurut Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, adalah mustahil bagi Muhyiddin untuk mengatakan bahawa beliau dan ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO serta anggota kabinet tidak tahu tentang apa yang berlaku dalam hal 1MDB.

Katanya, kenyataan Muhyiddin bahawa beliau mendapatkan maklumat daripada media membayangkan bahawa tindakan Kementerian Dalam Negeri ke atas dua penerbitan Kumpulan Media The Edge adalah salah.

KDN pada Jumaat lepas menggantung penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily berkuatkuasa minggu ini atas alasan “memprejudiskan ketenteraman awam” termasuk menimbulkan persepsi negatif terhadap 1MDB, kerajaan dan kepimpinan negara.

“Saya tahu hakikatnya apa yang dibayangkan oleh Muhyiddin itu tidak benar,” tulis Salleh.

Muhyiddin dalam ucapannya semasa menggulung mesyuarat tahunan UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad mengatakan beliau, sebagai Timbalan Perdana Menteri pun, sukar memahami isu 1MDB dan sedikit sebanyak tahu mengenainya daripada laporan akhbar terbitan The Edge.

Pejabat Perdana Menteri dalam reaksi kepada ucapan itu meminta Muhyiddin untuk tidak mengeruhkan persepsi dan menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap hal-hal yang berkait dengan 1MDB.

UTAMAPOLITIKSalleh Said Keruak gesa Muhyiddin letak jawatan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium